Gaya Hidup Lestari Membantu Menjimatkan Kos Sara Hidup


Perubahan kecil yang konsisten boleh memberi kesan besar kepada kewangan isi rumah


DALAM keadaan kos sara hidup yang semakin menjadi perhatian pengguna, amalan berjimat cermat bukan sahaja bermaksud mencari barangan yang lebih murah. Antara pendekatan yang boleh diamalkan ialah penggunaan lestari, iaitu menggunakan sumber seperti elektrik, air, makanan dan barangan dengan lebih bijak serta mengelakkan pembaziran.

Penggunaan lestari membawa manfaat kepada alam sekitar, tetapi pada masa yang sama, ia turut memberikan kesan langsung kepada kewangan isi rumah. Apabila kita mengurangkan penggunaan elektrik dan air, mengelakkan pembaziran makanan, menggunakan semula barangan serta membuat pembelian secara lebih terancang, kita sebenarnya sedang mengurangkan perbelanjaan harian.

Jimat Tenaga, Jimat Wang

Antara amalan paling mudah ialah pengawalan penggunaan elektrik di rumah. Lampu, televisyen, komputer, penyaman udara dan peralatan elektrik yang dibiarkan terpasang walaupun tidak digunakan akan menyebabkan pembaziran tenaga.

Oleh itu, pengguna perlu membiasakan diri untuk menutup lampu dan peralatan elektrik apabila tidak diperlukan. Penggunaan lampu dan peralatan yang lebih cekap tenaga juga boleh membantu untuk mengurangkan penggunaan elektrik.

Penggunaan penyaman udara juga perlu dikawal. Jika cuaca tidak terlalu panas, pengguna boleh menggunakan kipas atau memanfaatkan pengudaraan semula jadi. Apabila menggunakan penyaman udara, pastikan pintu dan tingkap ditutup supaya udara sejuk tidak keluar dan penyaman udara dapat beroperasi dengan lebih cekap.

Perubahan tingkah laku memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk menjimatkan tenaga. Kajian oleh penyelidik Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati bahawa pengetahuan, kesedaran, komitmen dan sikap mempunyai hubungan yang signifikan dengan tingkah laku penggunaan elektrik isi rumah. Kajian tersebut turut menunjukkan bahawa faktor penjimatan kos merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi pengetahuan isi rumah tentang penggunaan tenaga.

Dapatan ini menunjukkan bahawa usaha untuk menjimatkan tenaga bukan sekadar bergantung pada penggunaan peralatan cekap tenaga. Cara kita berfikir, tahap kesedaran dan tabiat harian juga mempengaruhi cara elektrik digunakan di rumah.


Oleh sebab itu, amalan mudah seperti menutup lampu apabila keluar dari bilik, mematikan peralatan yang tidak digunakan, menggunakan penyaman udara secara berhemah dan memantau penggunaan elektrik perlu dijadikan kebiasaan seluruh keluarga.

Amalan penjimatan tenaga yang kecil, apabila dilakukan secara konsisten oleh seluruh ahli keluarga, dapat membentuk budaya penggunaan tenaga secara berhemat dan membantu untuk mengurangkan bil elektrik dalam jangka masa panjang.


Gunakan Air Secara Bijak

Air merupakan satu lagi sumber yang sering dibazirkan tanpa disedari. Amalan seperti membuka paip ketika memberus gigi, menggunakan air secara berlebihan ketika mencuci dan tidak segera membaiki paip yang bocor boleh menyebabkan pembaziran air. 

Amalan mudah seperti menutup paip apabila tidak digunakan dan menggunakan air mengikut keperluan boleh mengurangkan pembaziran. Air juga boleh digunakan semula bagi mengurangkan pembaziran.

Kajian di Malaysia menunjukkan bahawa tingkah laku dan tabiat harian memainkan peranan yang penting dalam menentukan penggunaan dan penjimatan air isi rumah. Kajian oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tentang penggunaan air domestik di Selangor mendapati bahawa faktor tingkah laku merupakan antara penentu yang signifikan dalam penjimatan dan penggunaan air isi rumah. Dapatan ini menunjukkan bahawa perubahan dalam amalan harian pengguna boleh memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk mengurangkan pembaziran air.

Kajian Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula mendapati bahawa antara amalan penjimatan air yang kerap dilakukan oleh responden adalah dengan memastikan paip ditutup secara rapat dan hanya menggunakan mesin basuh apabila muatannya penuh. Kajian tersebut turut mengenal pasti bahawa keinginan untuk mengurangkan bil air dan rasa tanggungjawab sebagai antara dorongan utama yang menggalakkan responden berjimat dalam penggunaan air. 

Air juga boleh digunakan semula bagi mengurangkan pembaziran. Sebagai contoh, air basuhan beras atau sayur yang tidak mengandungi sabun boleh digunakan untuk menyiram tanaman. Air hujan pula boleh ditadah untuk mencuci kawasan luar rumah atau menyiram pokok. Amalan mudah seperti menutup paip ketika memberus gigi dan menggunakan baldi berbanding dengan membiarkan air mengalir ketika mencuci kenderaan juga dapat mengurangkan penggunaan air.

Selain memelihara sumber air, amalan ini membantu keluarga untuk mengawal bil utiliti. Prinsipnya mudah: semakin sedikit sumber yang dibazirkan, semakin sedikit wang yang perlu dibayar.

Elakkan Pembaziran Makanan

Penggunaan lestari juga berkait rapat dengan cara kita membeli dan menggunakan makanan. Apabila makanan dibeli secara berlebihan dan akhirnya dibuang, kita bukan sahaja membazirkan makanan, tetapi turut membazirkan wang yang digunakan untuk membelinya.

Sebelum membeli-belah, pengguna boleh menyediakan senarai barangan yang diperlukan, memeriksa bekalan makanan yang masih ada di rumah dan merancang hidangan dengan lebih teliti. Langkah ini dapat membantu untuk mengurangkan pembelian yang tidak diperlukan dan mengelakkan makanan daripada rosak sebelum sempat digunakan.

Kajian oleh penyelidik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) mendapati bahawa perancangan makanan merupakan faktor paling kuat yang mempengaruhi niat isi rumah untuk mengurangkan pembaziran makanan. Kajian Universiti Sains Malaysia (USM) pula mendapati bahawa perancangan pembelian makanan, tingkah laku ketika membeli-belah serta perancangan dan penyediaan makanan mempunyai hubungan yang signifikan dengan pembaziran makanan isi rumah.


Dapatan ini menunjukkan bahawa usaha untuk mengurangkan pembaziran makanan boleh bermula sebelum kita sampai ke pasar raya. Menyemak makanan yang masih ada di rumah, merancang hidangan dan menyediakan senarai pembelian merupakan langkah mudah yang boleh membantu pengguna membeli mengikut keperluan.

Pengguna juga boleh memilih hasil makanan tempatan dan membeli buah-buahan atau sayur-sayuran yang tersedia dengan banyak pada musim tertentu.  Semakin banyak bekalan sesuatu jenis makanan di pasaran, semakin banyak pilihan yang tersedia kepada pengguna, sekali gus meningkatkan peluang untuk mendapatkannya pada harga yang lebih berpatutan. Pada masa yang sama, pembelian hasil tempatan dapat menyokong petani dan pengeluar tempatan serta mengurangkan keperluan untuk membawa makanan dari lokasi yang jauh.

Kesedaran tentang pembaziran makanan amat penting kerana setiap makanan yang dibuang mempunyai nilai kewangan tertentu. Sebagai contoh, jika sebuah keluarga membazirkan makanan bernilai RM5 sehari, nilai pembaziran tersebut boleh mencecah kira-kira RM150 sebulan atau RM1,825 setahun. Wang tersebut sebenarnya boleh digunakan untuk keperluan keluarga yang lain.

Guna Semula Sebelum Membeli Barangan Baharu

Kebiasaan membeli barangan baharu setiap kali sesuatu barangan rosak atau tidak lagi menarik boleh meningkatkan perbelanjaan. Sebaliknya, amalan penggunaan lestari mendorong kita untuk mempertimbangkan terlebih dahulu sama ada barangan tersebut masih boleh digunakan, dibaiki atau dimanfaatkan untuk tujuan lain.

Bekas makanan, botol, pakaian, perabot dan pelbagai barangan rumah boleh digunakan semula sekiranya masih selamat dan sesuai. Barangan yang rosak pula boleh dipertimbangkan untuk dibaiki sebelum menggantikannya dengan yang baharu.

Amalan menggunakan semula dan membaiki barangan boleh memanjangkan jangka hayat sesuatu produk. Hal ini bermakna bahawa pengguna tidak perlu terlalu kerap mengeluarkan wang untuk membeli barangan baharu.

Pilih Pengangkutan dengan Bijak

Bagi perjalanan jarak dekat yang sesuai dan selamat, pengguna boleh memilih untuk berjalan kaki, berbasikal, berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam. Pilihan ini dapat mengurangkan kebergantungan pada kenderaan persendirian, sekali gus menjimatkan perbelanjaan untuk petrol, tol, parkir dan penyelenggaraan kenderaan.

Selain memberikan manfaat kewangan, amalan ini juga dapat mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon, sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

Kitar Semula dan Kurangkan Barangan Sekali Guna

Pengguna juga digalakkan untuk mengasingkan bahan yang boleh dikitar semula, seperti kertas, plastik, kaca dan logam. Namun, amalan penggunaan lestari tidak seharusnya terhad kepada kitar semula. Keutamaan perlu diberikan kepada usaha untuk mengurangkan penggunaan dan menggunakan semula barangan sebelum barangan tersebut dibuang.

Sebagai contoh, membawa beg sendiri ketika membeli-belah, menggunakan botol air guna semula dan mengurangkan pembelian barangan sekali guna dapat membantu untuk mengurangkan jumlah sisa yang dihasilkan.

Dalam jangka masa panjang, perubahan kecil dalam corak penggunaan ini bukan sahaja dapat mengurangkan penghasilan sisa, malah dapat menjimatkan perbelanjaan dengan mengurangkan keperluan untuk membeli barangan baharu.

Pengguna Lestari Juga Pengguna Bijak

Penggunaan lestari tidak bererti bahawa pengguna perlu mengorbankan keselesaan hidup. Sebaliknya, amalan ini membantu pengguna untuk membezakan antara keperluan dengan kehendak, mengelakkan pembaziran dan memperoleh manfaat yang sepadan dengan setiap ringgit yang dibelanjakan.

Sebelum membeli sesuatu barangan, pengguna wajar mempertimbangkan beberapa perkara: Adakah barangan tersebut benar-benar diperlukan? Adakah barangan itu tahan lama dan boleh dibaiki?  Adakah terdapat barangan lain yang boleh digunakan untuk tujuan yang sama? Dalam kehidupan seharian, pengguna juga perlu menilai sama ada elektrik dan air digunakan secara cekap. Pertimbangan mudah seperti ini dapat membantu pengguna untuk membuat keputusan yang lebih bijak dan berhemat.

Kesimpulan

Penggunaan lestari bermula dengan amalan mudah dalam kehidupan seharian. Memadamkan lampu apabila tidak diperlukan, menjimatkan air, mengelakkan pembaziran makanan, menggunakan semula atau mengitar semula barangan, memilih kaedah pengangkutan yang sesuai serta membeli mengikut keperluan mungkin kelihatan sebagai langkah kecil. Namun, apabila diamalkan secara konsisten, langkah-langkah ini dapat memberikan kesan yang besar terhadap perbelanjaan isi rumah.

Lebih penting lagi, penggunaan lestari menunjukkan bahawa kepentingan pengguna dan kelestarian alam sekitar boleh bergerak seiring. Penggunaan sumber secara bijak bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran dan perbelanjaan, malah turut menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

Oleh itu, setiap keluarga boleh menjadikan penggunaan lestari sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan harian. Perubahan tidak perlu dilakukan secara besar-besaran. Mulakan dengan langkah yang mudah dan jadikannya suatu kebiasaan.

Setiap sumber yang digunakan secara berhemat memberikan dua manfaat: mengurangkan perbelanjaan dan memelihara alam sekitar.



Sumber: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Federation of Malaysian Consumers Associations [FOMCA])







 PILIHAN UNTUK ANDA