Masyarakat Semakin Celik Terhadap Kepentingan Peralatan Elektrik Cekap Tenaga
Program SAVE 4.0 memberikan e-rebat sehingga RM400 kepada isi rumah yang membeli peralatan elektrik cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency atau turut dikenali sebagai SAVE merupakan program yang dilaksanakan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia. Program ini memberikan e-rebat sehingga RM400 (RM200 untuk pembelian penyaman udara dan RM200 untuk pembelian peti sejuk) kepada isi rumah yang membeli peralatan elektrik cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Program SAVE 4.0 menerima sambutan yang menggalakkan daripada pengguna apabila kuota e-rebat yang telah diperuntukkan bermula Disember 2023 habis ditebus setelah 6 bulan program tersebut berlangsung. Sehubungan dengan itu, pihak SEDA Malaysia telah menawarkan kuota tambahan e-rebat sebanyak RM10 juta bermula 27 September 2024 berdasarkan konsep first come-first serve.
Sambutan yang menggalakkan ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin peka terhadap kepentingan pembelian peralatan elektrik cekap tenaga yang membantu menjimatkan bil elektrik tanpa menjejaskan kualiti, keselamatan dan keselesaan hidup. Ini melambangkan perubahan tabiat pengguna yang semakin celik tentang kepentingan menjaga kelestarian alam kita.
Penggunaan e-rebat ini hanya terbuka kepada warganegara Malaysia yang mempunyai akaun elektrik berdaftar (domestik) dengan syarikat utiliti elektrik seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Nur Power Sdn. Bhd. 1 akaun bil elektrik hanya layak memohon 1 e-rebat bagi setiap peralatan elektrik.

CARA MEMOHON E-REBAT
Terdapat 2 kaedah yang tersedia untuk pengguna iaitu:

Mengikut pengumuman Bajet 2025, kuota e-rebat bagi program permulaan SAVE 4.0 sebanyak 250,000 unit melalui peruntukan dana RM50 juta telah habis ditebus menjelang bulan Mei 2024. Penduduk yang paling ramai membuat penebusan e-rebat adalah daripada negeri Kedah, Pulau Pinang dan Johor.
Oleh itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menyediakan peruntukan tambahan khas sebanyak RM10 juta atau bersamaan dengan 50,000 unit kuota tambahan e-rebat bersempena Program Madani Rakyat. Hal ini menjadikan jumlah peruntukan yang tertinggi bagi program SAVE 4.0 iaitu sebanyak RM60 juta berbanding dengan tahun sebelumnya, yang memperuntukkan sebanyak RM35 juta bagi Program SAVE 3.0.
Selain menjalankan kempen secara berkala melalui media sosial SEDA Malaysia, promosi SAVE 4.0 ini turut dilakukan melalui jerayawara Program Madani Rakyat. Tambahan pula, terdapat pengeluar dan pengedar peralatan elektrik yang mengambil inisiatif sendiri dalam membantu mempromosikan program SAVE 4.0. Malah program ini turut dipromosikan menerusi platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Tiktok Shop, Youbeli dan PGMall yang menyediakan laman sesawang khas untuk memudahkan pembelian berserta penebusan e-rebat bagi peralatan elektrik cekap tenaga. Sebagai panduan para pengguna, semakan dan perbandingan harga barangan juga boleh dibuat menerusi laman sesawang www.saveenergy.gov.my.
Program ini juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia sanggup meningkatkan kualiti kehidupan dengan memilih peralatan cekap tenaga demi kelestarian sumber tenaga.
Untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai Program SAVE 4.0 atau sebarang pertanyaan boleh layari laman sesawang www.saveenergy.gov.my.

Sumber: Sustainable Energy Development Authority (SEDA)