Perkara Yang Perlu Diketahui Sebelum Membeli Peralatan Elektrik Cekap Tenaga

Apabila membeli peralatan elektrik, cara paling mudah untuk mengenal pasti peralatan cekap tenaga adalah dengan melihat label kecekapan tenaga. Label kecekapan tenaga melambangkan prestasi tenaga peralatan elektrik.

Apabila membandingkan peralatan elektrik, pastikan peralatan elektrik berada dalam kategori yang sama.


Apabila membeli peralatan elektrik, anda juga perlu mempertimbangkan kos elektrik yang digunakan. Peralatan cekap tenaga mungkin lebih mahal tetapi untuk jangka masa panjang, ia lebih menjimatkan tenaga.


Perbandingan penjimatan tenaga antara pelbagai jenis lampu (Jenis mentol)



*Rujukan: Buku Panduan Penggunaan Elektrik yang Cekap di Rumah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST)


*Kos pembelian dikira berdasarkan jangkaan hayat seumur hidup 14,600 jam.
**Kos penggunaan dikira berdasarkan jangkaan lampu akan digunakan untuk 8 jam sehari selama 365 hari setahun dan selama 5 tahun (14,600 jam).


Jadual di atas menunjukkan perbandingan di antara penjimatan kos untuk pelbagai jenis mentol. Kita boleh lihat bahawa lampu penjimatan tenaga CFL boleh menjimatkan sekitar RM195.63 manakala LED Downlight sehingga RM237.86. Selain itu, LED Downlight dijangka bertahan sehingga 5 tahun, manakala CFL hanya perlu ditukar sebanyak 2 kali. Sebagai perbandingan, mentol pijar pula perlu ditukar sebanyak 15 kali untuk menyamai jangka hayat LED Downlight.


Selain melihat dari segi penjimatan kos, kita juga perlu mempertimbangkan keberkesanan cahaya untuk setiap lampu. Semakin tinggi nilai keberkesanan cahaya, semakin tinggi output sinaran bagi setiap watt yang digunakan oleh lampu.


Merujuk jadual di atas, mentol pijar menghasilkan 12 lumen per watt berbanding 67 lumen per watt untuk CFL dan 74 lumen per watt untuk LED Downlight. Ini bermakna, untuk satu LED Downlight, hampir 7 unit mentol pijar diperlukan untuk menghasilkan sinaran yang sama. Dengan ini, kita dapat mengurangkan jumlah lampu yang digunakan.


Perbandingan penjimatan tenaga antara pelbagai jenis lampu (Jenis tiub)


*Rujukan: Buku Panduan Penggunaan Elektrik yang Cekap di Rumah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST)


Perbandingan yang sama boleh dibuat untuk lampu jenis tiub. Penggunaan LED T8 boleh menjimatkan sehingga RM47.40 berbanding lampu pendarfluor T8 (36 watt). Selain itu, lampu LED T8 juga mempunyai keberkesanan cahaya sehingga 125 lumen per watt dan mempunyai jangka hayat sehingga 50,000 jam. Oleh itu, adalah penting untuk memilih peralatan elektrik berdasarkan jumlah kos pembelian dan penggunaannya untuk ‘nilai wang’ yang terbaik.


Label kecekapan tenaga

Apabila membeli peralatan elektrik, cara paling mudah untuk mengenal pasti peralatan cekap tenaga adalah dengan melihat label kecekapan tenaga. Label kecekapan tenaga melambangkan prestasi tenaga peralatan elektrik. Di Malaysia, peraturan Standard Prestasi Tenaga Minimum (Minimum Energy Performance Standards) (MEPS) untuk piawaian dan pelabelan telah dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga pada Mei 2013 dan kini terpakai kepada peralatan elektrik domestik seperti berikut:


  • Peti Sejuk
  • Mesin Basuh
  • Penyaman Udara
  • Lampu
  • Televisyen
  • Ketuhar dan Ketuhar Gelombang Mikro
  • Kipas Domestik
  • Periuk Nasi Elektrik
Berikut merupakan skim pelabelan yang dikendalikan di bawah peraturan Suruhanjaya Tenaga dengan kerjasama SIRIM.




Manakala untuk setiap jenis lampu, label yang tertera adalah seperti berikut:




Bagi barangan import lain yang tidak termasuk di dalam senarai, pengguna boleh merujuk kepada label kecekapan tenaga dari negara lain sebagai panduan untuk membeli peralatan elektrik cekap tenaga.


Penggunaan label kecekapan tenaga di Malaysia adalah sama dengan label kecekapan tenaga seperti yang digunapakai oleh negara lain seperti berikut:




Label kecekapan tenaga akan memberikan maklumat tentang penggunaan tenaga dan membantu pengguna membuat keputusan apabila membeli peralatan elektrik.


Prestasi tenaga peralatan elektrik

Untuk memilih peralatan elektrik cekap tenaga, perhatikan label kecekapan tenaga yang tertera pada peralatan elektrik tersebut. Sebagai contoh, apabila anda ingin membeli penyaman udara, lihat pada rating bintang yang diberikan.


Di Malaysia, standard prestasi tenaga minimum ialah 2 bintang. Ini bermakna peralatan yang mempunyai rating 1 bintang tidak dibenarkan dijual di Malaysia. Ini kerana peralatan elektrik yang berlabel/rating 1 merupakan peralatan yang tidak cekap tenaga. Apabila membandingkan peralatan elektrik, pastikan peralatan elektrik berada dalam kategori yang sama. Contohnya, untuk membandingkan dua jenis penyaman udara yang berbeza, pastikan kedua-duanya dinilai dengan rating yang sama.


Selepas memastikan peralatan elektrik tersebut mempunyai rating yang sama, perhatikan pula penggunaan tenaga tahunan (kWj setahun). Bandingkan antara kedua-duanya dan pilih yang menggunakan tenaga paling sedikit.


Sumber: Buku Panduan Penggunaan Elektrik yang Cekap di Rumah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST)