Langkah-Langkah Keselamatan Semasa Musim Banjir
Keselamatan elektrik adalah salah satu aspek yang perlu diambil berat oleh setiap orang tanpa mengira umur atau jantina. Peningkatan bencana banjir pada musim tengkujuh ini akan membawa kemudaratan kepada semua jika kita tidak berwaspada.

Impak banjir pada sistem bekalan elektrik
Bencana banjir boleh membawa pelbagai kemudaratan dan kesan negatif kepada alam sekitar, kerosakan harta benda, nyawa dan sebagainya. Bagi sistem bekalan elektrik, impak banjir dapat dilihat pada kerosakan pepasangan elektrik (pencawang elektrik, alat ubah, janakuasa dan sebagainya), tiang elektrik yang patah/tumbang, talian elektrik putus/jatuh, kabel bawah tanah putus dan sebagainya.


Bagaimana renjatan elektrik boleh berlaku
Renjatan elektrik berlaku apabila arus elektrik mengalir melalui mana-mana anggota badan manusia atau apabila mangsa menjadi sebahagian dari litar elektrik disebabkan oleh sentuhan langsung atau tidak langsung.
A. Sentuhan langsung:
Renjatan berlaku apabila seseorang itu menyentuh konduktor, kabel hidup atau wayar tidak bertebat secara langsung.
B. Sentuhan tidak langsung:
Renjatan berlaku apabila seseorang itu menyentuh pepasangan elektrik atau sesuatu yang bersambung dengannya tetapi bukan sentuhan secara langsung dengan kabel atau konduktor hidup. Ia mungkin disebabkan oleh kerosakan pada peralatan atau penebat yang menyebabkan kebocoran arus.
Walau bagaimanapun, tahap renjatan elektrik dipengaruhi oleh tahap umur, tahap kecergasan dan faktor-faktor lain. Badan manusia boleh mengalirkan arus elektrik dan dikelaskan sebagai rintangan. Semakin rendah rintangan badan manusia, semakin besar potensi untuk arus elektrik mengalir dan mengakibatkan kejutan elektrik.
Kejutan elektrik berlaku apabila adanya pengaliran arus elektrik yang berlebihan melalui badan seseorang yang menyebabkan fungsi tubuh seperti urat saraf, otot dan organ-organ badan menjadi tidak normal.
Sekiranya jumlah arus elektrik yang tinggi mengalir dalam badan manusia, ia boleh menyebabkan jantung manusia berhenti (cardiac arrest) atau sel-sel kulit manusia tercelur sekiranya ia mengalir melalui kulit.




Sumber: Buku Garis Panduan Kaedah-Kaedah Keselamatan Pengguna Elektrik Di Musim Banjir oleh Suruhanjaya Tenaga (ST)