FOMO: Perasaan ‘Takut Ketinggalan’ Dan Cara Bijak Menghadapinya

Dalam era digital ini, fenomena FOMO yang semakin berleluasa merupakan antara kesan langsung penggunaan media sosial, dan menjadi punca ramai pengguna berasa takut ketinggalan dalam mengikuti sesuatu trend atau perkembangan


Dalam Dalam era digital yang serba pantas ini, ramai orang terjebak dalam fenomena yang dikenali sebagai FOMO (Fear of Missing Out) atau ‘takut ketinggalan’. Fenomena ini semakin popular terutamanya dengan perkembangan media sosial yang membawa maklumat secara langsung dan serentak kepada pengguna. FOMO merujuk kepada perasaan bimbang kerana orang lain dipercayai menikmati pengalaman yang lebih baik. Dari segi kewangan, FOMO boleh menyebabkan seseorang mengambil keputusan impulsif yang akhirnya menjejaskan kedudukan kewangannya.

Apa itu FOMO?
FOMO ialah perasaan ‘takut terlepas’ sesuatu yang berharga atau menarik yang sedang dialami oleh orang lain. Biasanya, perasaan ini timbul apabila kita melihat rakan-rakan atau kenalan di media sosial yang sedang menikmati kehidupan yang lebih menarik, berjaya dalam kerjaya, atau membuat pelaburan yang menguntungkan. Keadaan ini sering kali membuatkan kita berasa tertekan dan cemas kerana merasakan diri kita ‘tertinggal’ dalam kehidupan sosial atau kewangan.

Fenomena FOMO bukan hanya melibatkan aktiviti sosial, tetapi juga keputusan kewangan. Sebagai contoh, seseorang mungkin berasa terdesak untuk melabur dalam saham tertentu, membeli produk terkini, atau berbelanja lebih daripada kemampuan hanya kerana mereka melihat orang lain melakukannya. FOMO menjadi semakin ketara dengan kewujudan pempengaruh (influencer) media sosial yang menonjolkan kehidupan yang sempurna, namun sering kali tidak mencerminkan realiti sebenar.

FOMO ialah fenomena yang tidak dapat dielakkan dalam era digital ini. Walau bagaimanapun, penting untuk kita mengatasi perasaan ini supaya tidak terjebak dalam keputusan kewangan yang tidak bijak. Dengan menetapkan matlamat kewangan yang jelas, membuat keputusan berdasarkan kemampuan, dan menguruskan perbelanjaan dengan bijak, kita dapat mengatasi FOMO dan menjalani kehidupan kewangan yang lebih seimbang dan bertanggungjawab.


Sumber: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)