Pajak Gadai: Apa yang Perlu Anda Ketahui?
Pajak gadai secara tradisionalnya dikenali sebagai ‘kedai pajak’ dan aktiviti ini dikawal selia oleh Akta Pemegang Pajak Gadai 1972

Dengan keadaan ekonomi yang sering turun naik, dan masa depan kewangan yang penuh ketidakpastian, ramai antara kita sukar meneruskan kehidupan. Sama ada disebabkan kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan atau keperluan perbelanjaan kecemasan.
Menambah hutang baharu mungkin salah satu cara untuk meneruskan kehidupan. Namun, adakah kita perlu memohon pinjaman daripada bank, atau wajar mempertimbangkan pajak gadai?
Ramai pengguna beranggapan bahawa pajak gadai merupakan cara yang mudah, selesa dan pantas untuk mendapatkan wang tunai. Ia benar sekiranya barangan yang digadai dapat ditebus semula. Namun, terdapat risiko penipuan oleh pemegang pajak gadai yang tidak beretika. Oleh itu, pengguna perlu sentiasa berwaspada agar tidak terperdaya.
Apakah itu pajak gadai?
Pajak gadai secara tradisionalnya dikenali sebagai ‘kedai pajak’ dan lazimnya terletak di kawasan bandar atau pekan kecil. Ia menawarkan pinjaman wang tunai dengan cagaran barang berharga seperti emas, perak, berlian, jam tangan dan sebagainya.
Pemegang pajak gadai akan menilai nilai pasaran barangan tersebut dan menawarkan pinjaman bersesuaian. Pelanggan akan menandatangani surat perjanjian pinjaman yang menetapkan jumlah pinjaman, kadar faedah, tempoh bayaran balik, serta implikasi sekiranya gagal membayar balik pinjaman.
Aktiviti pajak gadai dikawal selia oleh Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Pemegang pajak gadai melakukan dua perkara: Membeli barang berharga anda atau menawarkan pinjaman berasaskan cagaran. Pinjaman berasaskan cagaran bermaksud peminjam menerima pinjaman wang dengan menyerahkan barangan berharga sebagai cagaran sekiranya pinjaman tidak dapat dilunaskan.
Apakah barang yang boleh dipajak gadai?
Kebanyakan kedai pajak gadai menerima emas, namun terdapat juga yang menerima barangan lain seperti jam tangan mewah, beg tangan berjenama, telefon bimbit dan komputer riba. Pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat awal daripada kedai pajak gadai mengenai barangan yang diterima.



Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)