Menelusuri Potensi Tenaga Nuklear – Wawasan Daripada Ketua Pengarah Wanita Pertama Agensi Nuklear Malaysia (ANM)

Sebagai sumber tenaga bersih dan boleh dipercayai, tenaga nuklear memainkan peranan penting untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.



DALAM menghadapi tekanan iklim yang semakin meruncing dan permintaan tenaga yang melonjak di Asia Tenggara, kini semakin banyak negara ASEAN yang melihat tenaga nuklear sebagai penyelesaian strategik. Sebagai contoh, Indonesia, Filipina, dan Vietnam mendahului peralihan serantau ke arah pembangunan tenaga nuklear. Permintaan elektrik di ASEAN dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2050 berbanding tahun Sebagai sumber tenaga bersih dan boleh dipercayai, tenaga nuklear memainkan peranan penting dalam agenda karbon sifar Malaysia menjelang 2050. Menelusuri Potensi Tenaga Nuklear – Wawasan Daripada Ketua Pengarah Wanita Pertama Agensi Nuklear Malaysia (ANM) 2020. Oleh itu, penggunaan arang batu dijangka meningkat sebanyak 91% untuk memenuhi lonjakan permintaan ini.

Kini, tenaga nuklear semakin rancak dibincangkan sebagai komponen penting dalam campuran tenaga masa depan negara ASEAN. Para saintis di seluruh dunia telah menyifatkan tenaga nuklear sebagai jambatan dalam peralihan tenaga, kerana bukan sahaja bersih, tetapi juga dapat menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai.


Kerajaan sedang mengkaji tenaga nuklear sebagai sumber rasmi bagi mencapai sasaran karbon sifar menjelang 2050.

Malaysia kini sedang menghentikan loji janakuasa arang batu secara berperingkat untuk menuju sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Namun begitu, sumber tenaga boleh baharu seperti solar dan angin bersifat kurang konsisten. Hal ini menekankan keperluan kritikal untuk menggunakan sumber tenaga yang boleh dipercayai dan lestari. Integrasi pelbagai sumber tenaga ke dalam grid nasional memerlukan perancangan teliti untuk memastikan kestabilan sambil memenuhi komitmen iklim dan permintaan tenaga negara yang semakin meningkat.

Negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand, dan Indonesia turut mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada perancangan peralihan tenaga mereka. Malaysia juga tidak ketinggalan. Menurut Menteri Kementerian Ekonomi, Rafizi Ramli, menyatakan bahawa kerajaan sedang mengadakan kajian terperinci terhadap tenaga nuklear sebagai sumber tenaga rasmi untuk membantu negara mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menekankan bahawa “Tenaga nuklear diiktiraf di peringkat global sebagai salah satu sumber tenaga paling bersih dan sedang dipertimbangkan sebagai pilihan utama.” Di persidangan COP28, lebih daripada 20 negara komited untuk meningkatkan penjanaan tenaga nuklear mereka sebanyak tiga kali ganda.”

Menggerakkan wanita untuk masa depan tenaga nuklear
Women in Nuclear (WiN) ialah sebuah organisasi global bukan berasaskan keuntungan yang terdiri daripada wanita profesional dalam bidang nuklear. Penubuhan organisasi tersebut adalah untuk mempromosikan pengetahuan dan kesedaran orang awam tentang manfaat tenaga nuklear. Dengan kehadiran ahli yang lebih daripada 145 buah negara, WiN telah menjadi penyokong kuat untuk kelestarian alam sekitar, kepelbagaian, dan kesaksamaan jantina dalam industri nuklear.

Dr. Siti A’iasah Hashim merupakan ahli pengasas WiN bagi cawangan di Malaysia – di mana beliau pertama kali dilantik sebagai Timbalan Setiausaha, sebelum dilantik sebagai Presiden sejak 2019. Sebelum menyertai WiN Malaysia, Dr. Siti telah mencipta sejarah dengan menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (ANM) pada tahun 2021.

Walaupun Dr. Siti telah bersara pada tahun 2022, beliau masih aktif dalam mempromosikan teknologi nuklear dan radiasi, yang membawa lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang ini ke dalam kerjayanya bersama WiN. “Teknologi dan aplikasi nuklear serta radiasi memberi manfaat kepada manusia melalui pelbagai cara. Malangnya, istilah ‘nuklear’ membawa konotasi negatif dalam kalangan masyarakat. Orang ramai perlu dimaklumkan tentang fakta-fakta yang betul untuk meyakinkan mereka bahawa keselamatan dan kesejahteraan orang awam akan diberi keutamaan tertinggi,” jelasnya.

Berpindah kepada tenaga nuklear untuk menjamin peralihan tenaga
Sebiji pelet uranium bersaiz kecil menghasilkan tenaga sebanyak hampir 3 tong minyak, lebih daripada 350 meter padu gas asli, dan kira-kira setengah tan arang batu. Selain intensiti tenaganya, tenaga nuklear juga mempunyai kelebihan tersendiri yang penting untuk menjamin laluan global ke arah pelepasan karbon sifar bersih.

Tenaga nuklear tidak seperti tenaga boleh baharu yang lain (solar atau angin) kerana ia tidak bergantung dengan keadaan cuaca – menghasilkan kuasa maksimum lebih daripada 92% sepanjang tahun. Secara teori, penjanaan tenaga nuklear terlalu efisien, ibaratnya penghasilan bahan api terpakai yang boleh dimuatkan ke dalam 42 buah kolam renang bersaiz Olimpik.

Selain pengeluaran tenaga, Dr. Siti turut menekankan kelebihan tenaga nuklear dalam bidang perubatan. “Sebagai contoh, iodin-131, radioisotope yang digunakan untuk diagnosis dan merawat gangguan tiroid. Pengeluaran tenaga nuklear tempatan boleh menjadikan perubatan nuklear lebih mudah diakses oleh orang ramai.”

Manfaat ini kini semakin diiktiraf oleh saintis dalam bidang iklim, aktivis alam sekitar, dan pemimpin global dari seluruh dunia.

Walaupun tenaga nuklear masih menghadapi banyak cabaran, termasuk kos permulaan yang tinggi tetapi reaktor yang lebih kecil, lebih selamat, dan lebih fleksibel yang dikenali sebagai Reaktor Modular Kecil (SMR) menjadikannya lebih mudah diakses dan kos yang lebih efisien.

Pelaburan dalam SMR boleh menguntungkan bagi kawasan terpencil yang bergantung kepada loji janakuasa bahan api fosil, yang mempunyai jejak karbon tinggi. Peluang pembiayaan boleh datang daripada pelbagai pelabur dan organisasi yang berminat dengan inisiatif pengurangan karbon.

Membawa Malaysia ke era tenaga nuklear
Malaysia telah mempunyai asas yang kukuh dalam kepakaran nuklear kerana penyelidikan nuklear telah dijalankan di sini lebih empat dekad. Dari tahun 2011 sehingga 2019, negara ini telah mengejar tenaga nuklear dan menubuhkan Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) yang berpandukan garis panduan global.

Hasilnya, Malaysia juga telah membangunkan kumpulan bakat nuklear tempatan yang signifikan – melalui Jabatan Tenaga Atom, bersama organisasi sokongan teknikal seperti Agensi Nuklear Malaysia (ANM), di mana kedua-dua agensi tersebut dikawal selia oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai pakar dalam bidang ini yang menyediakan khidmat nasihat nuklear di seluruh dunia.

Namun begitu, Dr. Siti A’iasah menekankan bahawa tenaga nuklear boleh menjadi topik yang sensitif, kerana peristiwa sejarah dunia dan persepsi orang awam yang negatif. “Secara umum, orang ramai telah dididik untuk melihat tenaga nuklear dengan rasa takut – melalui peristiwa seperti Nagasaki, Hiroshima, Fukushima, dan Chernobyl yang memberikan gambaran negatif mengenai nuklear,” katanya.

“Walaupun peristiwa bersejarah ini memberikan bayangan gelap terhadap teknologi nuklear, namun kita perlu tahu untuk membezakan antara aplikasi ketenteraan dan penggunaan awam yang aman,” jelasnya. “Pengeboman tragis Hiroshima dan Nagasaki yang menggunakan teknologi nuklear ketenteraan yang memusnahkan, yang secara asasnya berbeza daripada penjanaan tenaga nuklear moden.Walaupun insiden tersebut merupakan bencana kepada manusia namun ia juga dilihat sebagai pemangkin untuk kita menambahbaik protokol keselamatan dan teknologi nuklear.”

“Untuk membina kepercayaan dan pemahaman tentang manfaat serta keselamatan tenaga nuklear dalam kalangan masyarakat, ia memerlukan pendidikan, penglibatan orang awam dan komunikasi yang berkesan.” Beliau menekankan keperluan untuk berkongsi maklumat semasa tentang langkah-langkah keselamatan teknologi nuklear dan juga pendedahan rekaan reaktor moden dengan pelbagai sistem keselamatan untuk menahan keadaan ekstrem. Apabila diurus dengan betul, tenaga nuklear merupakan salah satu sumber tenaga rendah karbon yang paling selamat dan boleh dipercayai.


Sumber: Agensi Nuklear Malaysia (ANM)