Memperkasakan Keupayaan Kewangan Golongan Belia

Tanpa bimbingan dan ilmu pengurusan kewangan yang kukuh, ramai yang terjebak denganhutang kad kredit, pinjaman peribadi atau pembelian impulsif


Dapatan terkini daripada Financial Capability and Inclusion Survey 2024 (FCI 2024) menunjukkan satu realiti yang membimbangkan – kelemahan dalam membuat keputusan kewangan dari usia muda terus memberi kesan negatif kepada kebanyakan kehidupan rakyat Malaysia apabila mereka meningkat dewasa. Kesan daripada keputusan kewangan yang kurang bijak pada peringkat awal ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan individu, malah turut menggugat daya tahan kewangan negara.

Realiti kewangan belia: Antara aspirasi dan cabaran
Golongan belia sering berdepan dengan dilema antara memenuhi keperluan asas, mengejar aspirasi kehidupan dan menangani tekanan sosial. Antara cabaran yang mereka sering hadapi ialah gaji permulaan yang rendah, kos sara hidup yang tinggi dan akses mudah kepada kemudahan kredit. Tanpa bimbingan dan ilmu pengurusan kewangan yang kukuh, ramai belia yang terjebak dalam hutang kad kredit, pinjaman peribadi atau pembelian impulsif.

Laporan FCI 2024 mendedahkan bahawa lebih 40% golongan belia Malaysia tidak menyimpan secara konsisten, manakala sebahagian besar lagi tidak mempunyai pelan kewangan jangka panjang. Kajian oleh Suruhanjaya Sekuriti menunjukkan hanya 5 - 10% daripada pendapatan belia disimpan, manakala selebihnya dibelanjakan untuk perbelanjaan harian, perumahan dan pembayaran hutang. Malah, sebanyak 61% rakyat Malaysia tidak mempunyai dana kecemasan sekurang-kurangnya RM1,000.

Penggunaan produk dan perkhidmatan kewangan digital (Digital Financial Services, DFS) di Malaysia telah berkembang dengan pesat. Pada tahun 2024, sebanyak 92% rakyat Malaysia menggunakan DFS, berbanding dengan 74% pada tahun 2021. Peningkatan ini mencerminkan perkembangan pendigitalan yang pantas dalam sektor kewangan negara, serta membawa pelbagai peluang dan cabaran. Namun begitu, penggunaan DFS yang meluas juga menimbulkan kebimbangan terhadap tabiat perbelanjaan dalam talian. Painless payment, iaitu apabila perbelanjaan menjadi terlalu mudah secara dalam talian, boleh menggalakkan perbelanjaan berlebihan dan keputusan kewangan yang kurang bijak.