Memahami Insurans/Takaful Perubatan Dan Kesihatan
Untuk mendapatkan polisi yang sesuai dengan keperluan dan bajet anda, penting untuk anda memahami jenis-jenis polisi MHIT

Insurans/Takaful perubatan dan kesihatan — perlu atau tidak?
Ramai dalam kalangan kita bergelut setiap hari dengan komitmen kerja dan keluarga sehingga terpaksa mengorbankan kesihatan diri. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali usaha yang dilakukan dalam menjaga kesejahteraan fizikal dan mental. Selain itu, menjaga pemakanan, bersenam dan mendapatkan rehat yang mencukupi perlu disertakan dengan aspek perlindungan kewangan, terutamanya bagi menghadapi situasi kecemasan perubatan yang tidak dijangka.
Memandangkan kos penjagaan kesihatan dijangka terus meningkat, salah satu bentuk perlindungan kewangan yang wajar dipertimbangkan ialah pelaburan dalam polisi Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) untuk membantu membiayai kos rawatan perubatan yang tidak diduga.
MHIT sebagai jaring keselamatan kewangan
Pada awal tahun 1970-an, MHIT Malaysia hanya menyediakan perlindungan asas bagi kemalangan peribadi, pampasan pekerja, dan turut merangkumi perlindungan dalam sektor kenderaan bermotor bagi kecederaan tubuh badan pihak ketiga.
Hari ini, MHIT telah berkembang menjadi alat pengurusan risiko kewangan yang moden dan boleh disesuaikan untuk melindungi pelbagai jenis keadaan dan perkhidmatan perubatan. Perkembangan ini selari dengan keperluan masyarakat yang semakin ramai berpendidikan dan berpendapatan tinggi.
Kenaikan kos rawatan perubatan juga mendorong pengguna untuk mendapatkan perlindungan kewangan sekiranya menghadapi krisis kesihatan seperti kanser, strok atau kemalangan.
Jenis polisi MHIT
Walaupun polisi MHIT boleh disusun khas mengikut keperluan individu, kebiasaannya polisi ini direka untuk menampung kos sebenar rawatan di hospital swasta bagi penyakit atau kemalangan yang dilindungi. Untuk mendapatkan polisi yang sesuai dengan keperluan dan bajet anda, penting untuk anda memahami jenis-jenis polisi MHIT, serta perkara yang dilindungi dan yang tidak dilindungi.
Secara umum, terdapat empat jenis utama polisi MHIT:
Insurans/Takaful hospital dan pembedahan
- Menyediakan bayaran balik terhadap perbelanjaan perubatan sebenar semasa rawatan atau pembedahan di hospital bagi keadaan yang dilindungi. Jumlah perlindungan ini tertakluk kepada had tahunan atau seumur hidup.
Insurans/Takaful penyakit kritikal
- Memberikan bayaran sekali gus apabila disahkan menghidap salah satu daripada 36 penyakit yang disenaraikan (seperti kanser, serangan jantung, strok dan kegagalan buah pinggang) atau menjalani pembedahan besar (seperti pintasan arteri koronari, pembedahan injap jantung, pembedahan otak dan lain-lain).
Insurans/Takaful pendapatan hilang upaya
- Memberi pampasan sebahagian daripada pendapatan anda sekiranya anda tidak dapat bekerja akibat penyakit atau kecederaan.
Insurans/Takaful pendapatan hospital
- Membayar sejumlah wang harian sepanjang tempoh anda dimasukkan ke hospital akibat penyakit atau kecederaan yang dilindungi, tertakluk kepada had hari maksimum.
Walaupun menjadi kebiasaan rakyat Malaysia untuk membeli lebih daripada satu polisi MHIT, pakar menasihatkan agar mempertimbangkan satu polisi yang menyeluruh bagi mengelakkan pertindihan perlindungan yang tidak diperlukan.
Membeli polisi MHIT
Setelah anda mengenal pasti keperluan dan tahap perlindungan yang diperlukan, proses membeli polisi adalah mudah.
Polisi MHIT boleh dibeli daripada syarikat insurans konvensional atau pengendali takaful melalui ejen yang sah, penasihat kewangan, broker atau bank yang menawarkan produk bancassurance atau bancatakaful.
Jika masih kurang pasti, rujuklah syarikat atau ejen yang sah untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Memilih dan memiliki polisi MHIT yang sesuai untuk anda dan keluarga bukan sahaja memberi ketenangan minda, malah membantu melindungi simpanan anda. Satu lagi nasihat penting: lakukan semakan dan penilaian semula terhadap polisi MHIT anda setiap dua hingga tiga tahun untuk memastikan perlindungan anda kekal relevan dengan kadar inflasi perubatan semasa.

