Merdeka: Menenun Kebebasan Di Sebalik Tirai Besi

Menyulam semangat kemerdekaan sambil menelusuri bagaimana satu inisiatif sosial merintis jalan baharu menuju kesejahteraan kewangan—bermula dengan dua puluh orang tahanan


Dalam semarak sambutan kemerdekaan, tatkala bendera berkibar megah di atas teratak kampung dan bangunan pencakar langit ibu kota, laungan Merdeka bukan sekadar gema kejayaan lampau, tetapi seruan berterusan untuk berjuang. Berjuang membebaskan diri daripada penjara yang kita bina sendiri – penjara dalam belenggu hutang, dalam dasar yang tidak inklusif, dalam prasangka, dan dalam minda kita sendiri. Kerana kebebasan yang hakiki bukan sekadar keupayaan bergerak bebas di ruang nan luas tetapi berjiwa kental berbekalkan tekad dan dorongan menuju matlamat yang bermakna. Kadang kala, perjalanan itu hanya memerlukan seutas benang emas.

Tembok yang paling sukar dirobohkan selalunya adalah tembok yang kita bina sendiri.

Di hamparan damai negeri Terengganu yang menghiasi persisiran Timur Semenanjung Malaysia, sinar mentari menyusup lembut di celah jeriji besi yang dimamah waktu, memantulkan kilauan ke atas jari jemari yang asyik menenun dengan penuh ketelitian dan tujuan.

Tiada rantai besi mengikat tangan mereka, tiada amarah dihempaskan ke dinding yang membisu seribu bahasa. Sebaliknya, mereka menyulam benang-benang sutera, emas, dan perak—tenggelam dalam gerak yang seirama, bagai tarian halus menenun songket: lambang kemegahan warisan diraja dan sulaman agung keturunan bangsawan.

Ini bukan bengkel biasa tetapi bengkel tenunan – permata harapan yang tersembunyi jauh di benak Penjara Marang, salah satu institusi pemulihan negara. Siapakah empunya tangan dan jemari yang menghidupkan warisan corak pusaka ini? Merekalah insan terhukum – pernah tersisih oleh masyarakat, namun kini bangkit semula, selembut sutera; benang demi benang, mereka menenun jalan pulang, menebus maruah yang pernah tercalar.

Transformasi ini merupakan sebahagian daripada program kewangan sosial iTEKAD MulaNiaga, di bawah naungan inisiatif iTEKAD oleh Bank Negara Malaysia. Dalam bahasa ibunda, “tekad” bermaksud keazaman dan dalam erti kata sebenar, ia adalah keazaman yang tumbuh daripada ketabahan yang tidak mengenal lelah mahupun kalah. Satu usaha bukan sekadar menyediakan modal, tetapi juga “peralatan” untuk membebaskan diri daripada sejarah silam yang pernah menyisih – menerusi seni tenunan songket dan kemahiran keusahawanan yang membuka lembaran baharu.

Di tengah kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan, tersingkap satu pertanyaan yang wajar kita renungkan bersama: Apakah erti kebebasan yang sebenar? Dan antara kita, siapakah yang benar-benar bebas?

Kebebasan: Asal kapas menjadi benang, dari benang menjadi kain
Seperti kisah-kisah agung perubahan yang terdahulu, perjalanan ini bermula dengan satu cetusan ilham yang terbit daripada kerjasama strategik. Menyedari potensi kewangan sosial dalam membentuk semula masa depan, sebuah institusi perbankan tempatan berganding bahu dengan sebuah agensi pengurusan kredit untuk melahirkan sebuah program yang menggabungkan warisan budaya, latihan keusahawanan, dan usaha pemulihan dalam satu jalinan yang menyeluruh.

Pusat Komuniti Tenunan Songket di Penjara Marang telah menjadi medan utama bagi menjayakan inisiatif ini. Misi program ini adalah untuk mentransformasi tahanan dan bekas tahanan menjadi usahawan mikro – bukan sahaja celik kewangan, tetapi juga terampil dalam seni warisan budaya. Seni tenunan songket, suatu ketika dahulu lambang kemegahan istana, dipilih bukan sekadar kerana kehalusan buatannya, tetapi juga kerana nilai pasaran dan potensinya dalam lanskap ekonomi moden.

Daripada tujuh puluh orang tahanan dan bekas tahanan, hanya dua puluh yang terpilih. Proses saringan dijalankan dengan penuh ketelitian – bukan berlandaskan sejarah silam atau rekod jenayah, tetapi berpaksikan kerendahan hati, semangat untuk belajar, dan kesediaan untuk berubah. Tenaga pengajar melangkah masuk ke Penjara Marang dengan seribu tanda tanya. “Apakah mereka keras hati? Ganas? Dingin? Mengancam?” Namun, di sebalik kegusaran itu, terbit sebuah perisai – melindungi mereka daripada dentuman pintu besi dan pandangan tajam pengawal yang menghantui setiap langkah.

Sebaliknya, apa yang menyambut mereka hanyalah sekumit senyuman, kepala tunduk menahan segan. Jiwa-jiwa terbelenggu oleh seribu ketidakpastian – malah ada yang tidak mampu menulis nama sendiri. Kekok tatkala memperkenalkan diri. Namun, sinar kemanusiaan menerangi setiap sudut ruang, memadam segala prasangka dan bayang-bayang keganasan.

Menjelang hari kedua, keberanian mula mewarnai sesi pembentangan dan soal jawab. Keperibadian satu demi satu menyerlah, soalan demi soalan dilemparkan dengan penuh semangat. Hilai tawa memecah kesunyian. Pada hari ketiga, suasana bilik latihan berubah menjadi riuh rendah – tidak lokek berkongsi ilmu, idea, dan pandangan. “Mereka menangis di penghujung program,” kata salah seorang fasilitator. “Bukan kerana sedih, tetapi kerana masih ada insan yang mempercayai mereka.”

Nilai dan harga peluang kedua
Progam ini dilaksanakan dalam tiga fasa sepanjang 18 bulan. Fasa pertama bermula dengan latihan teknikal dalam seni tenunan – di mana para peserta dididik menterjemah corak, menguasai teknik menenun benang sutera, serta mengawal ketegangan alat tenun dengan cermat. Latihan ini bukan sekadar merangsang pancaindera, malah menyentuh hati dan jiwa, membuka ruang bagi transformasi yang lebih mendalam.

Fasa kedua merangkumi modul keusahawanan, di mana para peserta didedahkan dengan cara menentukan harga produk, teknik membentangkan idea perniagaan, serta pengurusan keuntungan dan pelaburan yang bijak. Ramai antara mereka belum pernah disentuh oleh literasi perniagaan sebelum ini. Dan tiada seorang pun yang pernah merenungkan masa depan melebihi bayang-bayang kisah silam mereka.

Seterusnya, mereka diberikan akses kepada pembiayaan mikro berlandaskan prinsip syariah—dana yang disalurkan secara terancang dan teliti, seperti geran iTEKAD dan kemudahan mikro kredit yang ditawarkan oleh institusi perbankan tersebut, beserta sokongan berstruktur termasuk bekalan bahan mentah. Matlamatnya bukan sahaja sebagai persiapan menghadapi cabaran dunia luar, tetapi juga membina kehidupan yang mampan selepas pembebasan.

Di sinilah potensi kewangan sosial Islam terserlah dengan jelas. Zakat, sedekah, dan wakaf—prinsip pemberian yang berakar umbi sejak lama – bergabung dengan instrumen kewangan moden untuk memperkasakan golongan yang tercicir daripada ekosistem perbankan, sekali gus mengubah status mereka daripada penerima zakat kepada pembayar zakat yang berdikari.

Penjara, sebuah dunia yang tersembunyi
Di sebalik tembok penjara yang dingin dan kaku, tersingkap sebuah dunia yang tersembunyi dari pandangan mata kasar – dunia yang berpegang teguh kepada disiplin, tata tertib, dan rasa hormat. Setiap hari, mereka melapor diri untuk bertugas, menerima upah harian melalui seni menenun songket. Hasil tangan mereka bagaikan jiwa dan raga yang teranyam dalam setiap helaian benang. Di sini, mereka saling menjadi mentor, membimbing dan menguatkan antara satu sama lain.

Seorang tahanan yang sejarah silamnya dilumuri oleh keganasan, kini dilantik sebagai ketua kawalan kualiti dan teori warna. Rakan seperjuangannya, yang pernah tercicir daripada sekolah rendah, kini menyimpan impian untuk membuka butik songket di kampung halamannya. Seorang lagi, yang dulu menggenggam amarah sehangat bara dendam, kini dengan sabar menenun benang sutera dan emas menjadi kain songket yang memukau. Setiap motif yang teranyam membawa nafas baharu—ibarat mati hidup semula.

Songket: Menenun harapan, membina negara
Malaysia kini berdepan risiko kehilangan generasi pelapis penenun songket. Tatkala generasi muda semakin terpikat dengan kerjaya profesional berlandaskan ekonomi digital, seni tenunan tangan kian terpinggir, pudar ditelan arus zaman. Namun, di balik tembok penjara ini, nadi alat tenun masih berdegup kukuh, menyuarakan denyutan warisan yang masih hidup. Di sini, seni tenunan songket tetap teguh – tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan tunjang utama kepada ekonomi yang berkembang pesat. Di Malaysia, PMKS membentuk majoriti besar entiti perniagaan, berperanan sebagai pemangkin keterangkuman sosial – membuka ruang bagi golongan terpinggir, tercicir, dan tersisih untuk kembali menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Keistimewaan program ini terletak pada perpaduan antara ekonomi dan empati kemanusiaan. Ia bukan sekadar amal, tetapi sebuah bentuk pemerkasaan yang tulen. Bukan hanya menawarkan peluang kedua, tetapi memupuk nilai, membina kesaksamaan sosial, dan meninggalkan warisan yang bermakna—untuk diri sendiri, untuk keluarga, dan untuk tanah air.

Apakah erti kebebasan hakiki?
Ketika Malaysia melangkah ke usia 68 tahun kemerdekaan, laungan “kebebasan” bergema – dari derap langkah perarakan hingga gegap gempita suara di podium. Namun di sebalik sorak dan warna- warni perayaan, masih ada jiwa yang terpenjara – dibelenggu hutang yang mencengkam, kesunyian gaya hidup digital yang memekakkan, dan benak yang kian menyempit.


Kita hidup dalam sebuah negara di mana jutaan warganya bebas menurut undang-undang, namun terpenjara oleh yang tidak kelihatan – hutang yang tak terbayar, gaya hidup yang tak tergapai, kesilapan silam yang dirasa tak tertebus. Mereka bukan penghuni Penjara Marang – tiada uniform, tiada jeriji besi, tiada langkah bergema di lorong sunyi. Namun sangkar mereka tetap wujud dan dalam diam, mereka terus terpenjara.

Penghuni penjara Marang mengerti perbezaannya. Mereka pernah menyentuh kedua-dua dinding – yang zahir dan yang batin. Di sebalik jeriji besi, mereka menemukan sesuatu yang jarang dirasai oleh mereka di luar sana: kekuatan untuk bermula semula. Ungkapan paling menyentuh datang daripada seorang peserta dalam pembentangan terakhirnya:

Menenun corak baharu, untuk negara Program iTEKAD bukan sekadar sebuah inisiatif pemulihan. Ia adalah usaha halus membina semula negara, benang demi benang. Kerjanya tekun, hasilnya penuh makna, menganyam benang-benang yang pernah putus menjadi busana indah, lambang ketabahan dan harapan. Ia tidak memadam masa silam, tetapi memilih untuk melakar corak baharu demi hari esok.

Dari benang menjadi kain.

Dari luka menjadi kekuatan.

Dari sejarah—terbinalah masa depan.

Tatkala penggubal dasar berhujah tentang kerangka fiskal dan strategi sosial, di sinilah dalam kehalusan lipatan kain tenun warisan budaya – roh sebenar Merdeka tersingkap, perlahan tetapi pasti.

Bukan pada bunga api yang membelah langit.

Bukan pada kibaran bendera yang megah di angkasa.

Bukan pada derap langkah yang menggetarkan pagi sunyi.

Tetapi pada tangan yang menggigil – saat seorang lelaki memegang benang sutera buat pertama kali, dengan keyakinan bahawa kisah hidupnya belum berakhir dan masih boleh ditenun semula.


Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)