Buy Now, Pay Later (BNPL): Jambatan Merentasi Ombak Kewangan
BNPL hanyalah alat seperti mana-mana alat kewangan lain, ia bukan lesen untuk berbelanja ikut suka hati

Hidup seorang ibu tunggal, terutama yang membesarkan anak sendirian, sering diibaratkan sebagai nakhoda kepada bahtera kecil yang perlu sentiasa seimbang. Setiap hari, dia berusaha memastikan kapal kecilnya tidak karam, walaupun ribut datang tanpa amaran.
Begitulah kisah Maria, seorang ibu tunggal kepada seorang anak lelaki, Aris, yang baru berumur enam tahun. Maria bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat kecil — cukup makan dan cukup pakai. Bajet bulanannya disusun rapi untuk sewa rumah, bil, makanan dan sedikit simpanan kecemasan.
Namun hidup tidak selalu mengikut rancangan.
Satu hari, peti sejuk yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun tiba-tiba rosak. Kos membaiki terlalu tinggi — hampir separuh daripada gajinya. Belum sempat bertenang, bil elektrik pula melambung akibat cuaca panas dan penggunaan peralatan elektrik yang meningkat.
Lebih malang, semua itu berlaku serentak pada waktu sesi persekolahan baharu bakal bermula. Aris yang akan masuk darjah satu mengidamkan beg sekolah dengan watak adiwira kegemarannya. Bagi orang lain, beg itu mungkin remeh, tetapi Maria tahu ia melambangkan harapan anaknya untuk memulakan alam persekolahan dengan semangat baharu. Sebagai ibu, dia mahu memberikan yang terbaik, tetapi dalam masa yang sama, dia tidak mampu berbelanja seperti orang lain. Maria berdepan dengan dilema. Patutkah dia menggunakan wang simpanan kecemasan, atau biarkan sahaja keinginan anaknya itu tidak kesampaian?
Satu tawaran, satu pilihan
Ketika melayari media sosial, Maria terlihat iklan BNPL (Beli Sekarang, Bayar Kemudian). Tawaran itu membolehkan bayaran dibuat dalam empat ansuran bulanan tanpa faedah. Dia membaca dengan teliti. Kos beg itu boleh dibayar secara ansuran — lebih ringan daripada membayar sekali gus. Dia tidak perlu menyentuh simpanan kecemasan. Hatinya terdetik, “Mungkin ini jalan yang terbaik!”
Baginya, BNPL pada saat itu bukan alat untuk membeli kemewahan, tetapi satu penyelesaian jangka pendek untuk satu keperluan penting. Ia seperti jambatan yang muncul saat dia hampir tenggelam, menghubungkan kemampuan kewangannya dengan impian kecil anaknya.
Menjadi pengguna yang bijak
Maria tidak berbelanja secara berlebihan. Dalam setahun, dia hanya menggunakan BNPL tiga kali, iaitu untuk beg sekolah Aris, untuk kipas baharu semasa gelombang haba melanda, dan tablet terpakai ketika sesi pembelajaran kembali secara dalam talian. Setiap kali, dia memastikan bayaran dibuat tepat pada waktunya. Tiada ansuran tertunggak. Tiada pembaziran.
Dia sedar, BNPL bukan lesen untuk berbelanja ikut suka hati. Ia hanyalah alat, dan seperti mana-mana alat kewangan lain, ia perlu digunakan dengan bijak. Ia membantu menguruskan aliran tunai ketika terdesak, bukan menambah hutang secara senyap.

Kekayaan bukan sekadar wang
Bagi Maria, keputusan kecilnya memberi impak besar. Senyuman Aris ketika membuka zip beg baharunya ialah momen yang tidak ternilai. Ia mungkin hanya beg sekolah, tetapi bagi seorang ibu yang berjuang setiap hari untuk memberikan yang terbaik, itu ialah lambang kasih sayang dan kemenangan kecil yang diraih daripada hasil hasil keputusan kewangan yang bijak.

Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)