Love Scam: Datang Sebagai Kekasih, Pergi Sebagai Penjenayah
Penipuan cinta (love scam) terjadi apabila penipu memperdaya seseorang melalui hubungan cinta palsu dalam talian, satu jenayah yang semakin berleluasa dan menjadi kebiasaan

Apakah penipuan cinta (love scam)?
Penipuan cinta (love scam) berlaku apabila penipu memperdaya seseorang melalui hubungan cinta palsu dalam talian bagi meraih kepercayaan sebelum menipu mangsa untuk mendapatkan wang. Penipu lazimnya menyamar sebagai individu yang menarik, berjaya dan penyayang, sedangkan niat sebenar mereka adalah untuk memperoleh wang melalui muslihat.

Contoh situasi Love Scam:
Samira, 43 tahun, berkenalan dengan seorang lelaki melalui Facebook Messenger yang mendakwa dirinya sebagai jurutera yang bekerja di luar negara. Lelaki itu bersikap sangat romantik dan menyatakan hasrat untuk berkahwin dengannya. Selepas beberapa minggu berhubung, lelaki tersebut menyatakan hasrat untuk menghantar hadiah berupa wang tunai dan barang kemas. Tidak lama kemudian, Samira menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku pegawai kastam dan meminta bayaran sebanyak RM3,000 untuk “cukai pelepasan bungkusan”. Akibat terlalu percaya dan sayang, Samira membuat bayaran tersebut. Beberapa hari kemudian, lelaki itu menghilangkan diri tanpa sebarang khabar.

