Auto Renewal Dan Dark Patterns: Risiko Perbelanjaan Tanpa Sedar Dalam Perkhidmatan Online

Auto renewal membolehkan perkhidmatan yang dilanggan diperbaharui secara automatik tanpa memerlukan tindakan lanjut daripada pengguna


Dengan perkembangan era digital yang semakin canggih, pembaharuan automatik (auto renewal) telah menjadi norma baharu. Amalan ini digunakan secara meluas dalam pelbagai perkhidmatan dalam talian termasuk penstriman media, perisian, aplikasi mudah alih dan platform e-dagang.

Auto renewal membolehkan perkhidmatan yang dilanggan diperbaharui secara automatik tanpa memerlukan tindakan lanjut daripada pengguna. Walaupun sistem ini memberikan kemudahan dan menjimatkan masa, ia turut menimbulkan kebimbangan yang semakin serius berkaitan taktik licik. Taktik licik dalam reka bentuk sistem menggunakan dark patterns (corak gelap) untuk mengelirukan pengguna agar kekal melanggan secara tidak sedar mewujudkan risiko perbelanjaan berulang yang tidak dirancang.

Dark patterns ialah reka bentuk antara muka pengguna (User Interface - UI) yang mengelirukan dan menyukarkan tindakan seperti pembatalan langganan. Contoh paling biasa ialah butang pembatalanyang disembunyikan, maklumat autorenewal yang kabur, dan tawaran percubaan percuma yang secara senyap berubah kepada langganan berbayar tanpa maklumat yang jelas.

Taktik ini semakin kerap digunakan oleh pelbagai jenis penyedia perkhidmatan untuk mengekalkan langganan pelanggan bukan berdasarkan kepuasan perkhidmatan tetapi taktik licik dan kekeliruan sistem auto renewal.

Kes sebenar turut dilaporkan oleh pengguna Malaysia melalui forum seperti Reddit. Seorang pengguna menceritakan pengalamannya selepas mencuba tawaran “percubaan percuma” oleh iStockPhoto. Tanpa disedari, langganan tersebut telah diperbaharui secara automatik dan pengguna dikenakan caj berjumlah ratusan ringgit. Lebih mengecewakan, proses pembatalan hanya boleh dilakukan melalui talian khidmat pelanggan, dan bukannya secara dalam talian menerusi laman sesawang atau aplikasi. Situasi ini menggambarkan penggunaan dark patterns yang secara halus memerangkap pengguna agar terus kekal melanggan tanpa kesedaran sepenuhnya. Kajian dari luar negara turut membongkar taktik ini.

Apabila dibandingkan, cabarannya sama, namun tahap perlindungan pengguna di Malaysia masih rendah. Di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, peraturan seperti click-to-cancel telah diperkenalkan, yang mewajibkan penyedia perkhidmatan menyediakan butang pembatalan langganan yang jelas dan mudah diakses. Pengguna juga akan menerima notifikasi beberapa hari sebelum auto renewal dilakukan.

Di Malaysia pula, tiada undang-undang khusus yang mengawal sistem auto renewal atau isu dark patterns secara langsung. Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perdagangan Elektronik 2006 masih belum mencakupi isu tersebut secara khusus.

Dalam landskap digital yang semakin kompleks, pengguna perlu lebih peka terhadap bentuk langganan dan strategi yang mungkin menjejaskan kawalan kewangan mereka. Langkah-langkah pencegahan yang bijak dan pengetahuan mengenai hak pengguna ialah kunci utama untuk mengelakkan kerugian tanpa disedari. Pihak berkuasa juga wajar mempertimbangkan dasar khusus bagi memastikan ketelusan dan keadilan amalan auto renewal.


Sumber: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

More from LANGKAH PRIHATIN

Penipuan cinta (love scam) terjadi apabila penipu memperdaya seseorang melalui hubungan cinta palsu dalam talian, satu jenayah yang semakin berleluasa dan menjadi kebiasaan