Cabaran Memaksimumkan Manfaat Smart Meter: Antara Kesedaran Dan Tindakan Pengguna
Smart Meter hanya berkesan jika pengguna bukan sahaja memahami fungsinya, tetapi turut mengambil tindakan berdasarkan data untuk mengubah corak penggunaan tenaga dengan lebih berhemat.

DALAM usaha negara menuju ke arah penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mampan, pemasangan Meter Pintar (Smart Meter) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan satu langkah penting. Salah satu matlamat pemasangan Smart Meter adalah untuk memberikan kefahaman kepada pengguna mengenai corak penggunaan tenaga mereka dan secara tidak langsung membantu pengguna menjimatkan penggunaan elektrik.
Setakat ini, terdapat lebih 4.6 juta premis di beberapa kawasan terpilih di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Ipoh, Putrajaya, Cyberjaya, Langkawi, Kuala Nerang, Melaka, Pulau Pangkor dan Pulau Tenaga Hijau (Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tioman) telah dipasang dengan Smart Meter. Namun begitu, persoalan yang semakin mendapat perhatian ialah adakah semua pengguna benar-benar memanfaatkannya?
Smart Meter bukan sekadar alat untuk merekod bacaan elektrik secara automatik. Ia membolehkan pengguna memantau corak penggunaan tenaga secara harian dan bulanan melalui aplikasi atau portal myTNB.
Dengan maklumat ini, pengguna sepatutnya boleh membuat keputusan yang lebih bijak dalam merancang penggunaan peralatan elektrik di rumah.

Pada April 2025, sebanyak 308,375 akaun kontrak (CA) telah mencatatkan pengurangan keseluruhan sebanyak RM9 juta dalam penggunaan, dengan purata pengurangan sebanyak RM29 bagi setiap CA. Manakala bagi analisis penggunaan tenaga (kWh), terdapat pengurangan keseluruhan sebanyak 20 GWh (gigawatt-jam) dalam penggunaan pada April 2025, dengan purata pengurangan sebanyak 65 kWh (kilowatt-jam) bagi setiap CA.
Cabaran: Kurang kesedaran, jurang digital dan kekurangan tindakan pengguna
Namun begitu, tahap kesedaran dan pemahaman dalam kalangan pengguna mengenai kelebihan Smart Meter masih rendah. Ramai yang tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya boleh mengubah corak penggunaan tenaga mereka untuk menjimatkan bil. Perkara ini berlaku disebabkan kekurangan maklumat atau panduan yang sukar difahami. Apabila pengguna tidak memahami fungsi penuh Smart Meter dan kurangnya tindakan pengguna untuk mengubah corak penggunaan mereka, maka tiada perubahan dalam bil elektrik mereka walaupun Smart Meter telah dipasang.
Selain itu, jurang digital juga menyebabkan pengguna sukar memahami kelebihan Smart Meter. Terdapat sesetengah kumpulan pengguna rentan, seperti warga emas dan mereka yang kurang celik teknologi, yang mungkin mengalami kesukaran memahami teknologi Smart Meter secara menyeluruh. Keadaan ini turut menyukarkan mereka untuk mengakses peranti tersebut, termasuk penggunaan aplikasi myTNB.
Di samping itu, persepsi masyarakat bahawa penjimatan yang diperoleh adalah terlalu kecil untuk diambil serius juga akan membantutkan tindakan pengguna untuk mengubah corak penggunaan tenaga mereka. Tanpa kesedaran dan tindakan, kelebihan Smart Meter tidak akan dimanfaatkan sepenuhnya. Cabaran lain termasuk kurangnya kempen kesedaran bersasar yang melibatkan semua lapisan masyarakat, terutamanya golongan B40, warga emas dan penduduk luar bandar.
Semua pihak berlumba untuk menuju ke arah dunia digitalisasi tetapi kita mungkin terlepas pandang bahawa dunia digitalisasi turut memerlukan telefon pintar untuk menyokong sebarang aplikasi yang berkaitan dengan Smart Meter.
Namun begitu, tidak semua pengguna mampu memiliki telefon pintar yang menyokong pelbagai aplikasi. Oleh itu, kita tidak sepatutnya mengabaikan kumpulan tersebut. Sebaliknya, kita perlu menyokong mereka supaya tiada kumpulan pengguna yang terabai dalam era digitalisasi ini.


Sumber: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)