Membina Landskap Tenaga Berteraskan Pengguna

Wawancara eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Dr. Saravanan Thambirajah.



TENAGA akan sentiasa menjadi perkhidmatan asas yang penting, bagi hampir setiap rumah kediaman dan perniagaan di seluruh dunia. Namun begitu, industri tenaga di seluruh dunia kini sedang mengalami perubahan besar akibat pergolakan geopolitik, komitmen terhadap iklim serta inovasi teknologi. Implikasinya, kebanyakan negara dijangka menghadapi struktur kos tenaga yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Revolusi tenaga mesra alam merupakan penyelesaian jangka panjang kepada masalah ini - dengan penawaran bekalan elektrik yang bersih, mampu milik dan mampan. Justeru, pelaburan berskala besar telah disalurkan untuk meningkatkan bekalan tenaga dalam peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih—termasuk usaha nyahkarbon industri, pembangunan penyelesaian tenaga bersih serta pembinaan infrastruktur yang menyokongnya.

Namun demikian, kekurangan perhatian terhadap aspek permintaan boleh mengekang potensi sebenar usaha jangka panjang ini.

Temu bual bersama Dr. Saravanan Thambirajah, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan- Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menekankan bahawa masa depan tenaga bersih bergantung kepada industri tenaga berteraskan pengguna, yang dipacu oleh pengguna sendiri.

Menjamin masa depan tenaga yang mampan dan mampu milik
Ketegangan geopolitik seperti konflik Rusia-Ukraine telah menggugat pasaran tenaga secara drastik, sekali gus menyebabkan lonjakan harga gas dan elektrik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. “Rusia merupakan pengeksport utama gas asli dan minyak mentah; maka sekatan ekonomi terhadap negara tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan dan kenaikan harga yang mendadak. Sebagai contoh, harga minyak mentah Brent melonjak melebihi AS$120 setong pada awal tahun 2022, berbanding sekitar AS$50 setong pada tahun 2020,” jelas Dr. Saravanan.


Tambah beliau, untuk tempoh peralihan daripada bahan api fosil kepada sumber tenaga boleh baharu, jika tidak ditangani dengan baik, ia turut berpotensi meningkatkan kos dalam jangka pendek, sekali gus menjejaskan kewangan isi rumah dan perniagaan.

Namun, Dr. Saravanan mengingatkan bahawa subsidi ini—walaupun penting dalam melindungi pengguna berpendapatan rendah, tetapi ia tidak boleh dikekalkan dalam jangka panjang sekiranya harga tenaga global terus meningkat. Justeru, pendekatan yang lebih mampan ialah dengan mengurangkan subsidi secara berperingkat sambil terus melabur dalam sumber tenaga boleh baharu.

Walau bagaimanapun, pendekatan ini sahaja tidak memadai. Kajian menunjukkan bahawa sehingga 70% kejayaan peralihan tenaga bergantung kepada perubahan tingkah laku pengguna—termasuk amalan penggunaan tenaga yang lebih berhemah dan gaya hidup yang lebih lestari.

Mendorong pengguna tenaga bertindak untuk kepentingan mereka sendiri
Pengguna ialah tunjang kepada sistem tenaga masa hadapan. Separuh daripada sumbangan pengguna terhadap peralihan tenaga di seluruh dunia datang secara langsung daripada cara perubahan penggunaan tenaga di rumah dan pengangkutan. Namun setakat ini, sebahagian besar tumpuan dalam peralihan tenaga masih diberikan kepada bahagian pembekalan seperti pelaburan dalam aset tenaga boleh baharu dan menaik taraf infrastruktur.

“Selain pelaburan dalam bekalan tenaga, permintaan daripada pengguna juga patut diberi perhatian,” ujar Dr. Saravanan. Beliau menegaskan bahawa ketidakstabilan dan kenaikan harga tenaga sebenarnya telah meningkatkan minat pengguna terhadap tenaga bersih dan penyelesaian baharu seperti pemasangan panel solar di atas bumbung dan kenderaan elektrik (EV).

Menurut tinjauan FOMCA hampir 85% pengguna telah mengamalkan kecekapan tenaga di rumah kediaman, manakala 66% bersetuju bahawa peralihan tenaga penting bagi mencapai sasaran sifar bersih negara. Ini mencerminkan sikap optimistik rakyat Malaysia terhadap masa depan, meskipun berdepan dengan cabaran semasa.



Dalam hal ini, Dr. Saravanan memuji penggubalan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) yang diluluskan pada Oktober 2024 setelah hampir sedekad melalui proses konsultasi. Dengan mengawal selia pengguna tenaga terbesar dalam sektor industri dan komersial, EECA dijangka dapat menjimatkan tenaga bernilai lebih RM100 bilion. Dr. Saravanan melihat akta ini sebagai petunjuk jelas komitmen kerajaan untuk memperkasa pengurusan permintaan tenaga sebagai sebahagian daripada hala tuju negara ke arah sifar bersih yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Di samping penjimatan tenaga, EECA turut disasar untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak hampir 200,000 kilotan.

Tenaga rakyat untuk kegunaan rakyat
Selain EECA, pemain industri dan pembekal tenaga boleh bekerjasama dengan kerajaan untuk membentuk industri tenaga yang benar-benar berteraskan pengguna, sekali gus mengaktifkan penyertaan seluruh lapisan rakyat. “Peralihan tenaga yang adil dan saksama hanya dapat dicapai jika semua segmen masyarakat mendapat manfaat,” jelas Dr. Saravanan. Usaha memenangi hati pengguna perlu dimulakan dengan memahami nilai dan keperluan mereka yang pelbagai. Dalam pasaran tenaga yang berubah, setiap pengguna akan mempunyai kehendak yang berbeza. Ada yang perlukan panduan untuk menambah baik kediaman, dan ada juga yang perlukan bantuan kewangan untuk melaksanakannya.

Malah ada sebahagian pengguna ingin kawalan penuh, tetapi ada juga yang lebih selesa jika semuanya diurus secara automatik. Pembekal tenaga memainkan peranan penting sebagai penghubung antara pengguna dan sistem tenaga yang kian kompleks. Mereka perlu tampil dengan pendekatan dan pengenalan produk yang lebih moden, membina kepercayaan dan kesetiaan pelanggan, serta memberi manfaat ekonomi kepada semua pihak supaya tiada kumpulan yang tercicir.

Dr. Saravanan menyatakan bahawa pembekal tenaga di Malaysia kini sudah menunjukkan kepimpinan dan lebih berwawasan dengan menyediakan pilihan baharu yang lebih pintar dan praktikal kepada pengguna. Contohnya, pelaksanaan Smart Meter oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di seluruh negara yang merupakan prasyarat utama kepada peralihan isi rumah ke arah sifar bersih, dengan memberikan pengguna kawalan dan kesedaran terhadap jejak karbon di rumah kediaman masing-masing.

Melangkah ke hadapan, penjanaan tenaga yang tidak bergantung kepada satu sumber sahaja akan menjadi kunci utama bagi Malaysia dalam mewujudkan sistem tenaga yang mampan dan berdikari. Peralihan paradigma ini mendorong kemunculan reka bentuk pasaran elektrik berasaskan struktur rakan-ke-rakan (P2P), di mana pengguna yang terlibat secara langsung dan turut menjana tenaga sendiri boleh menjalankan urusan jual beli tenaga boleh baharu secara terus melalui grid elektrik. “

Akhirnya, tenaga bukan lagi isu umum – ia kini menyentuh kehidupan peribadi pengguna dari segi gaya hidup dan tingkah laku pengguna ,” ujar Dr. Saravanan. Gangguan dan perubahan harga mungkin telah menggugat keyakinan pengguna, tetapi ia juga mempercepatkan usaha keterlibatan mereka dalam agenda kelestarian. Beliau percaya bahawa pelaburan dalam membina keupayaan pengguna untuk menyertai perjalanan tenaga ini adalah tindakan yang tidak akan merugikan, daripada pemimpin negara sehinggalah rakyat biasa. Seluruh masyarakat perlu berganding bahu untuk merealisasikan aspirasi Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. “Bak kata pepatah, ‘bersatu teguh, bercerai roboh’. Pendekatan menyeluruh berteraskan pengguna ialah cara terbaik untuk membina sistem tenaga yang adil, mampan dan memberi nilai bersama untuk semua.”


Sumber: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)