Keselamatan Gas Asli: Risiko, Pengurusan Dan Langkah Pencegahan Di Malaysia
Gas asli merupakan salah satu sumber tenaga utama di Malaysia. Oleh itu, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam memastikan gas asli diurus dalam keadaan baik dan selamat.

GAS asli merupakan salah satu sumber tenaga utama di Malaysia, digunakan dalam pelbagai sektor seperti domestik, komersial, industri dan pengangkutan. Walaupun menawarkan kelebihan seperti pembakaran yang lebih bersih dan cekap, gas asli juga membawa risiko keselamatan yang tinggi jika tidak diuruskan dengan betul.
Oleh itu, tahap pengurusan gas asli merupakan aspek yang sangat penting untuk memastikan ia tidak mendatangkan bahaya kepada manusia dan alam sekitar.
Sebahagian besar gas asli mengandungi metana, yang merupakan gas tanpa warna dan tanpa bau. Kepekatan metana dalam udara yang mencapai antara 5% hingga 15% boleh menyebabkan letupan apabila terdedah kepada sumber nyalaan, seperti api atau percikan elektrik. Ini boleh menyebabkan kebakaran dan letupan yang merosakkan harta benda, mencederakan individu, dan mengancam nyawa.


Tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kebocoran gas
Apabila berlaku kebocoran gas, tindakan segera harus diambil untuk mengurangkan bahaya kepada nyawa dan harta benda. Penduduk atau pekerja di kawasan yang terjejas perlu segera meninggalkan premis dan berpindah ke kawasan terbuka. Penggunaan telefon bimbit atau sumber elektrik lain perlu dielakkan, kerana ini boleh mencetuskan percikan api. Setelah keluar dari kawasan berisiko, mereka perlu menghubungi pihak berkuasa atau talian kecemasan untuk tindakan lanjut. Sementara itu, pihak berkuasa akan menghantar pasukan bomba atau juruteknik yang berkelayakan untuk menilai keadaan dan mengambil langkah-langkah untuk menutup sumber kebocoran.
Keselamatan gas asli adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak— daripada pengguna, pemilik hartanah, hingga ke penyedia perkhidmatan gas. Kebocoran gas asli mengundang risiko yang sangat tinggi, namun dengan langkah- langkah pengurusan yang betul dan penggunaan teknologi pengesanan yang bersesuaian, dapat mengurangkan risiko tersebut. Pendidikan tentang keselamatan gas, serta kepentingan penyelenggaraan dan pengesanan awal kebocoran gas, harus diutamakan oleh pihak berwajib bagi memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat dalam penggunaan gas asli. Dengan tindakan yang tepat, kita dapat mengelakkan tragedi dan memastikan penggunaan gas asli tetap selamat dan berkesan.

Gas asli yang bocor adalah berbahaya kerana berpotensi untuk meletup.
Sumber: Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST)