Revolusi Pengurusan Tenaga Dengan Smart Meter Serata Dunia

Dengan adanya Smart Meter, pengguna dapat memantau dan mengawal penggunaan tenaga secara lebih berhemah.



SMART METER atau Meter Pintar, ialah peranti elektronik canggih yang merekod dan menghantar data penggunaan tenaga secara automatik dalam masa nyata (real time) kepada pembekal utiliti melalui rangkaian komunikasi seperti teknologi Radio Frequency Mesh Network (RF Mesh), Global System for Mobile Communications (GSM), Narrowband Internet of Things (NB-IoT), atau Long Range Wide Area Network (LoRaWAN). Berbeza dengan meter analog konvensional yang hanya dibaca sekali sebulan, Smart Meter merekodkan bacaan sehingga setiap 30 minit atau setiap hari, membolehkan pengguna memantau corak penggunaan elektrik dengan lebih tepat.

Selain itu, sesetengah Smart Meter tertentu juga berupaya mengesan kebocoran gas atau air, serta arus elektrik luar biasa, memberikan amaran awal agar tindakan pembaikan boleh diambil sebelum kerosakan atau kemalangan berlaku.


Di peringkat global, pelaksanaan Smart Meter menunjukkan kadar penembusan yang berbeza-beza mengikut negara. Menurut laporan IoT Analytics, lebih 1.06 bilion unit Smart Meter telah dipasang di seluruh dunia sehingga akhir tahun 2023. Di United Kingdom, Data Communications Company (DCC) melaporkan bahawa lebih 30 juta unit Smart Meter elektrik dan gas telah beroperasi pada 1 Mac 2024 menerusi Program Pelaksanaan Meter Pintar (Smart Metering Implementation Programme, SMIP).

Di Amerika Syarikat, The Edison Institute for Electric Innovation mencatatkan pemasangan 128 juta unit Smart Meter di rumah kediaman dan premis perniagaan menjelang akhir tahun 2023, merangkumi sekitar 80% kadar penembusan pasaran. Di China pula, China Mobile telah menyambungkan lebih 200 juta peranti NB-IoT termasuk Smart Meter air dan gas sehingga suku kedua 2023. Negara-negara seperti Australia dan India juga kini mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur Smart Meter.

Daripada sudut teknologi, tiada satu pendekatan tunggal yang sesuai untuk semua situasi. Di Eropah dan Asia Tenggara, rangkaian Global System for Mobile Communications/ General Packet Radio Service (GSM/GPRS) masih popular kerana liputan meluas dan kos yang berpatutan. NB-IoT pula semakin meluas di negara seperti China dan Jerman kerana keperluan tenaganya yang rendah serta prestasi tinggi dalam bangunan.

Di kawasan luar bandar, LoRaWAN menjadi pilihan kerana julat isyaratnya yang boleh mencecah sehingga 15 kilometer tanpa memerlukan lesen frekuensi. Di Amerika Utara, syarikat seperti Sensus dan Itron menggunakan teknologi RF Mesh di mana setiap meter bertindak sebagai pengulang isyarat kepada jiran terdekat.


Walaupun manfaat Smart Meter sangat jelas, cabaran utama masih wujud, terutamanya dari segi keselamatan siber dan perlindungan data peribadi. Rangkaian Smart Meter terdedah kepada risiko serangan siber jika tidak dilindungi dengan baik. Justeru itu, penggunaan piawaian penyulitan seperti Advanced Encryption Standard 128-bit (AES-128) dan Transport Layer Security (TLS) dianggap sebagai keperluan asas untuk melindunginya daripada ancaman siber.

Perlindungan privasi pengguna pula dikawal melalui peraturan seperti General Data Protection Regulation (GDPR) di Eropah dan Personal Data Protection Act (PDPA) di Malaysia untuk memastikan maklumat corak penggunaan tenaga tidak disalahguna. Tambahan lagi, kos pemasangan awal yang tinggi dan keperluan latihan teknikal untuk juruteknik utiliti menjadi antara cabaran utama. Isu keserasian antara vendor yang berbeza juga mendorong kepada penggunaan piawaian terbuka seperti International Electrotechnical Commission 62056 Device Language Message Specification/Companion Specification for Energy Metering (IEC 62056 DLMS/COSEM) serta platform pengurusan data yang lebih fleksibel.

Selain itu, teknologi blockchain kini diuji untuk membolehkan urusan perdagangan tenaga antara pengguna (peer-to-peer energy trading) secara telus dan selamat. Dengan sokongan dasar kerajaan, kerjasama pihak utiliti, serta kesedaran pengguna yang semakin meningkat, Smart Meter berpotensi menjadi teras utama grid tenaga pintar dunia, membawa manfaat dalam bentuk kos yang lebih rendah, kemampanan tenaga, dan kredibiliti sistem kepada semua pihak.

Melangkah ke hadapan, Smart Meter dijangka akan semakin bersepadu dengan ekosistem rumah pintar dan Internet of Things (IoT), membolehkan peranti di rumah berjalan secara automatik berdasarkan data masa nyata. Teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) dan pembelajaran mesin (Machine Learning, ML) akan dimanfaatkan untuk meramal corak permintaan tenaga, mengesan anomali, serta menyesuaikan pengagihan beban tenaga secara dinamik.


Sumber: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)