Peranan Pengangkutan Mampan: Menyokong Usaha Ke Arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih

Pengangkutan elektrik dan tenaga boleh baharu berupaya untuk memacu negara ke arah negara rendah karbon.



WALAUPUN pengangkutan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara, kebergantungan sektor ini terhadap bahan api fosil perlu diberi perhatian serius. Kenderaan di jalan raya merupakan penyumbang utama kepada pelepasan karbon, dengan peningkatan kira-kira 20% antara tahun 2010 hingga 2023.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kadar peningkatan pelepasan karbon dalam sektor ini berlaku lebih pesat di Asia berbanding rantau lain, didorong oleh kadar pertumbuhan penduduk dan ekonomi yang tinggi. Tanpa intervensi segera, rantau ini dijangka menyumbang lebih 7 Gt pelepasan karbon dioksida menjelang tahun 2050, melebihi paras ambang 1 Gt yang diperlukan untuk menghadkan kesan paling buruk perubahan iklim.

Sama seperti teknologi lain, penggunaan pengangkutan elektrik di jalan raya merupakan pendekatan paling berpotensi bagi negara Asia untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor pengangkutan. Khususnya, pengangkutan awam menawarkan peluang segera untuk menggunakan elektrik secara meluas, sekali gus berupaya mengurangkan pelepasan karbon secara menyeluruh.

Menjadikan pengangkutan mampan mudah diakses oleh semua
Kemajuan teknologi terkini telah membuka peluang untuk membangunkan kenderaan elektrik (EV) termasuk bas, tren, dan van mini yang mampu mengurangkan pelepasan karbon secara ketara. Penggunaan EV telah menunjukkan pengurangan pencemaran udara dan pelepasan karbon di banyak negara.

Sebagai contoh, Shenzhen di China menjadi bandar pertama di dunia yang mengendalikan bas awam elektrik sepenuhnya melalui penyertaan program pelepasan karbon sifar bagi menangani isu pencemaran udara yang serius. India turut melaksanakan Program Bas Elektrik Kebangsaan (NEBP) yang menyasarkan sebanyak 50,000 buah bas elektrik menjelang tahun 2030.

Kumpulan Bas Shenzhen telah berjaya mengurangkan sebanyak 190,000 tan pelepasan karbon dioksida melalui penggunaan bas elektrik. Secara purata, bas elektrik mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 70% berbanding bas yang menggunakan gas asli. Di negara yang kurang menggunakan tenaga boleh baharu seperti Mongolia, penggunaan bas elektrik masih mampu mengurangkan pelepasan karbon iaitu sebanyak 30%.

Usaha pengangkutan awam yang menggunakan tenaga elektrik tidak terhad kepada bas sahaja. Di Bangkok, perkhidmatan teksi bot elektrik telah diperkenalkan di beberapa terusan utama bandar tersebut. Rangkaian ini direka bentuk secara bersepadu dengan sistem tren elektrik, bas awam, dan teksi motosikal, secara tidak langsung teksi bot turut membantu usaha pelancongan bandar, di samping mengurangkan pelepasan karbon.

Selain memberikan manfaat kepada alam sekitar seperti pengurangan pelepasan karbon dan peningkatan kualiti udara, pengangkutan awam elektrik turut membawa impak sosial yang besar. Pengangkutan awam elektrik membawa teknologi bersih yang paling canggih untuk dimanfaatkan dan mudah diakses oleh mereka yang amat memerlukannya.

Di Malaysia, penggunaan van mini elektrik di bandar kecil seperti Ipoh dan Kuching bukan sahaja memodenkan sistem pengangkutan tempatan, malah mengekalkan ciri-ciri mesra komuniti yang menjadi identiti kehidupan setempat. Penduduk daripada pelbagai latar belakang sosial dapat menikmati kemudahan pengangkutan yang mampan, boleh dipercayai dan efisien, tanpa mengira status sosioekonomi mereka.

Selain itu, terdapat penjimatan kos kepada pihak berkuasa tempatan menerusi pengurangan perbelanjaan bahan api, kos penyelenggaraan yang rendah dan jangka hayat kenderaan yang lebih lama. Usaha pengangkutan awam elektrik berpotensi memperkasa komuniti terpinggir, memperkukuh jaringan ekonomi dan membentuk ketahanan bandar dalam jangka panjang.

Sebagai pembekal tenaga elektrik utama negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menerajui pembangunan ekosistem EV yang berdaya saing, bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada pengangkutan elektrik. Usaha ini merangkumi pembinaan stesen pengecas berprestasi tinggi di beberapa lokasi strategik yang dapat menyokong keperluan pengangkutan awam dan persendirian yang menggunakan tenaga elektrik.

Penggunaan EV telah menunjukkan pengurangan pencemaran udara dan pelepasan karbon di banyak negara.

Tenaga elektrik: Peranan bahan api alternatif
Meskipun pengangkutan elektrik memainkan peranan utama dalam mengurangkan pelepasan karbon, langkah ini sahaja tidak mencukupi. Kita mungkin akan mencapai anggaran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) sebanyak 600 juta buah kenderaan elektrik menjelang tahun 2040, tetapi ia hanya akan menggantikan kurang daripada 15% penggunaan bahan api fosil sedia ada. Oleh itu, penyelesaian tambahan yang mampan diperlukan untuk kenderaan yang masih berada di jalan raya, sama ada pada masa kini atau pada masa hadapan.

Bahan api boleh baharu merupakan antara komponen utama untuk membentuk sistem pengangkutan yang mampan. Ia dihasilkan daripada sumber yang boleh diperbaharui secara berterusan seperti biojisim, sisa buangan, dan bahan mentah semula jadi.

Pembakaran bahan api ini tidak melepaskan karbon dioksida baharu ke atmosfera, dan boleh mengurangkan pelepasan GHG sehingga 95% berbanding bahan api fosil.

Memandangkan 95% permintaan tenaga sektor pengangkutan kini masih menggunakan bahan api fosil, usaha memperluaskan penggunaan bahan api boleh baharu merupakan suatu perkara keutamaan yang mendesak.

Pada tahun 2019, bahan api boleh baharu berjaya menggantikan hampir 4% daripada jumlah bahan api fosil yang digunakan dalam sektor pengangkutan secara keseluruhan. Dengan pelaburan yang kukuh, peratusan ini boleh meningkat kepada 40% menjelang tahun 2040.

Merangka hala tuju ke arah pengangkutan mampan
Akhir kata, pelaksanaan pengangkutan awam elektrik di rantau Asia berpotensi menetapkan penanda aras global, membuktikan bahawa pengangkutan mampan berskala besar bukan sahaja boleh dilaksanakan, bahkan penting untuk masa hadapan.

Transformasi yang digerakkan dari bawah ini mampu menjadi model pembangunan mampan yang unik – satu pendekatan yang mengimbangi kemajuan teknologi dengan pemeliharaan budaya dan perpaduan sosial. Dengan beralih kepada pengangkutan elektrik, Malaysia bukan sahaja menunjukkan komitmen tinggi terhadap tindakan iklim, tetapi turut membuka jalan ke arah masa hadapan yang lebih adil dan mampan untuk Asia dan seluruh dunia.


Sumber: Energy Watch (www.energywatch.com.my)