Kebenaran Kewangan: Mengapa Kita Perlu Bersuara?

Daripada memilih untuk berdiam diri tentang masalah kewangan kerana bimbang dianggap lemah atau gagal, ketahui dengan lebih lanjut bagaimana peranan institusi kewangan seperti AKPK dapat membantu anda.


Dalam cerita dongeng “Pakaian Baharu Maharaja”, seorang maharaja yang sombong diperdaya oleh dua orang penipu. Mereka berjanji untuk menenun pakaian yang sangat istimewa — hanya orang bijak sahaja yang mampu melihatnya. Kerana takut dilabel bodoh atau tidak cekap, tiada seorang pun — termasuk maharaja sendiri — berani mengaku bahawa mereka tidak nampak apa-apa.

Seluruh rakyat, termasuk para menteri, menerima sahaja pembohongan ini sehinggalah seorang kanak-kanak berani bersuara dan mendedahkan kebenaran: “Maharaja tidak memakai apa-apa pun!”

Kisah ini ialah cerminan masyarakat kita, terutamanya apabila ia berkaitan dengan kewangan. Kita sering melihat kehidupan yang ‘sempurna’ dipamerkan di media sosial, sehingga kita takut untuk mengakui masalah kewangan kita sendiri. Kita berpura-pura semuanya baik-baik sahaja, seolah-olah kita juga memakai ‘pakaian halimunan’, sama seperti maharaja tadi.

Malah, perbincangan tentang hutang dan tekanan kewangan sering dianggap aib, menjadikannya topik yang tidak selesa untuk dibincangkan secara terbuka.

Jadi, mengapa ramai yang memilih untuk menderita dalam diam, sedangkan ada bantuan yang tersedia? Jawapannya adalah kerana mitos.

Mitos dan realiti di era digital
Dalam era digital, maklumat lebih mudah diakses berbanding dengan sebelumnya, namun satu paradoks yang aneh masih wujud: kebenaran tentang agensi bantuan pengurusan kewangan masih tidak jelas kepada ramai orang. Khabar angin tersebar lebih pantas daripada fakta, terutamanya di media sosial apabila algoritma mengutamakan kemarahan berbanding dengan kewarasan.

Orang ramai lebih banyak belajar daripada TikTok, misalnya, berbanding dengan berita atau kenyataan rasmi. Hari ini, persepsi dibentuk bukan hanya oleh fakta, tetapi juga emosi yang mendasari sesuatu cerita. Apabila melibatkan nasihat kewangan, orang lebih cenderung mempercayai kisah peribadi berbanding dengan mesej rasmi pihak berautoriti. Ini yang membuatkan mitos terus hidup dan berkembang.

Jangan biarkan ‘pakaian halimunan’ yang anda pakai (sambil menyangka, "Saya okey!") menghalang anda daripada mendapatkan bantuan yang anda perlukan. Dengan menghadapi kebenaran secara jujur, anda bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kewangan, tetapi juga mendapatkan kembali ketenangan fikiran dan keyakinan diri. Inilah keberanian yang hakiki.


Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)