Bayar Tunai Atau Tanpa Tunai, Mana Lebih Selamat Dan Praktikal?

Kemunculan teknologi digital telah mengubah cara masyarakat berbelanja, daripada pembayaran tunai kepada transaksi tanpa tunai.


Malaysia menyasarkan untuk menjadi masyarakat tanpa tunai menjelang tahun 2030.

Perkembangan pantas dunia digital telah mengubah corak pembayaran yang digunakan oleh masyarakat. Perubahan khusus ini dapat dilihat dengan jelas melalui perbezaan antara aspek penggunaan wang tunai dengan sistem pembayaran tanpa tunai.

Fenomena perubahan landskap kewangan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Dahulu, masyarakat hanya menggunakan wang tunai sebagai sistem pembayaran utama yang diamalkan secara menyeluruh.

Namun, kemunculan pelbagai jenis perkhidmatan kewangan seperti e-wallet, kad debit, kad kredit dan pemindahan wang secara dalam talian membuktikan bahawa rakyat kini mempunyai lebih banyak pilihan. Generasi Baby Boomers kebanyakannya masih memilih sistem pembayaran dalam bentuk wang tunai. Golongan generasi muda, khususnya Gen Z dan selepasnya, lebih selesa untuk melakukan pembayaran tanpa tunai bagi setiap perbelanjaan yang dibuat. Generasi milenial pula ialah golongan pertengahan yang mampu menyesuaikan diri dengan kedua-dua kaedah pembayaran. Persoalannya kini ialah, manakah pilihan yang lebih baik serta mampu menjamin kesejahteraan kehidupan masyarakat, tunai atau tanpa tunai?

Kebanyakan negara kini telah mengamalkan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam sistem kewangan mereka. Malaysia menyasarkan untuk menjadi masyarakat tanpa tunai menjelang tahun 2030. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mendidik masyarakat mengenai kelebihan pembayaran secara digital (tanpa tunai).

Bank Negara Malaysia ialah institusi utama yang memainkan peranan penting dalam memastikan sistem ini selamat dan bersifat mesra pengguna serta mudah digunakan oleh semua golongan masyarakat. Namun, pelaksanaan peralihan sistem kewangan ini perlu dilakukan secara berperingkat dan menyeluruh.

Untuk mencapai matlamat ini, pihak kerajaan perlu menambah baik infrastruktur digital yang sedia ada supaya benar-benar dapat dinikmati secara menyeluruh, sama ada di bandar atau luar bandar. Selain itu, program celik digital juga perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai dunia digital agar tiada golongan yang ketinggalan.

Pelbagai insentif telah ditawarkan oleh pihak kerajaan dan sektor swasta kepada pengguna sistem tanpa tunai sama ada dalam bentuk diskaun, pulangan tunai (cashback) dan mata ganjaran bagi menarik masyarakat ke arah pembayaran digital. Kaedah transaksi kewangantanpa tunai ini telah pun bermula sejak dahulu lagi tetapi tidak digunakan secara meluas.

Realitinya, kedua-dua pilihan tersebut, sama ada tunai atau tanpa tunai akan mempunyai implikasi baik dan buruk. Jika dilihat dari sudut positif, pembayaran tanpa tunai sudah pasti menawarkan pelbagai kelebihan, terutamanya dari segi kemudahan dan keselamatan. Segala transaksi pembayaran dapat diselesaikan hanya melalui beberapa sentuhan di skrin telefon pintar, tanpa memerlukan kehadiran individu tersebut secara fizikal.

Dengan kata lain, seseorang individu boleh melakukan transaksi kewangan tanpa perlu membawa sejumlah wang dalam bentuk fizikal. Keadaan ini akan mengurangkan risiko berlakunya kejadian jenayah seperti rompakan dan kecurian secara fizikal. Rekod transaksi kewangan digital juga membolehkan segala maklumat perbankan disimpan secara berpusat oleh institusi bertanggungjawab bagi tujuan perancangan ekonomi pada masa akan datang.

Namun, jika sesuatu perkara mempunyai kebaikan, pasti ada keburukannya. Transaksi tanpa tunai mempunyai beberapa risiko seperti gangguan liputan Internet, penggodaman sistem dan perbelanjaan tanpa kawalan. Transaksi kewangan tanpa tunai sentiasa memerlukan liputan Internet yang stabil bagi mengelakkan gangguan ketika urusan transaksi berlangsung.

Kita boleh mengambil pengajaran daripada negara Sweden yang mula berpatah balik daripada sistem tanpa tunai atau cashless secara sepenuhnya dalam sistem kewangan mereka atas faktor ancaman peperangan dan ‘isyarat’ daripada Amerika Syarikat.

Masyarakat juga harus sedar bahawa segala apa yang berada dalam sistem digital mempunyai risiko tinggi untuk digodam oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, transaksi kewangan tanpa tunai juga boleh membentuk masyarakat dengan sifat perbelanjaan yang tidak terkawal tanpa sedar.

Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa pilihan untuk menggunakan kaedah pembayaran tunai atau tanpa tunai bergantung kepada situasi, keperluan dan kemampuan individu. Dalam banyak keadaan, tidak dinafikan, sistem tanpa tunai menawarkan kemudahan yang lebih baik. Namun, penggunaan wang tunai masih kekal relevan sebagai kaedah pembayaran yang mudah, cepat dan diterima secara meluas di seluruh dunia.

Justeru, perkara penting yang perlu diutamakan ialah kesedaran dan kebijaksanaan pengguna dalam memilih kaedah pembayaran yang bersesuaian dengan gaya hidup mereka. Dalam zaman teknologi yang berkembang pesat ini, keseimbangan antara inovasi dan kesejahteraan masyarakat harus sentiasa dijaga agar tiada siapa yang tertinggal di belakang.

Transaksi tanpa tunai mempunyai beberapa risiko yang perlu kita ambil tahu seperti gangguan liputan Internet, penggodaman sistem dan perbelanjaan tanpa kawalan.


Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.