Kebangkitan Gen Z: Pengguna Digital Di Malaysia
Gen Z sedang membentuk semula landskap pengguna Malaysia melalui gaya hidup digital, pilihan kewangan yang bijak dan kesedaran lestari.

Generasi Z kini muncul sebagai pemacu transformasi baharu dalam landskap pengguna Malaysia. Generasi Z, atau lebih dikenali sebagai Gen Z, merupakan generasi celik digital lahir dari pertengahan 1990-an hingga awal 2010-an.
Mereka sedang mengubah tabiat membeli- belah dan tingkah laku kewangan, malah mereka juga menaruh harapan yang tinggi terhadap sesuatu jenama. Perkara ini mendorong perniagaan di seluruh negara untuk lebih berinovasi dan mengikuti peredaran teknologi.
Penyokong digital, namun bukan semata-mata digital
Menurut "Laporan Spendtrend 2024" oleh NielsenIQ, Gen Z Malaysia sangat menggemari platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Namun begitu, kecenderungan mereka tidak terhad kepada digital sahaja.
Generasi ini menghargai pendekatan “fizikal + digital” atau “phygital” yang menggabungkan kemudahan membeli- belah dalam talian dan luar talian. Peniaga kini menawarkan pelbagai saluran perkhidmatan seperti “klik dan ambil” (click-and-collect), aplikasi mudah alih untuk navigasi dalam kedai, serta perkhidmatan penghantaran yang pantas dan boleh dipercayai.
Sentuhan teknologi seperti Realiti Terimbuh (Augmented Reality – AR), pembayaran mudah alih, serta Internet Segala Benda (Internet of Things – IoT) kini menjadi ciri penting generasi tersebut. "Laporan Runcit Adyen 2024" menyatakan bahawa pengguna Malaysia terutamanya Gen Z mengharapkan pengalaman digital yang mudah dan intuitif.
Pengaruh media sosial terhadap keputusan pembelian pengguna
Media sosial bukan sekadar alat komunikasi bagi Gen Z Malaysia, tetapi ia juga berperanan sebagai medan membeli-belah mereka. "Laporan Youth Digital Insights 2024" oleh CacaFly Malaysia mendedahkan bahawa 51% Gen Z menemui produk baharu melalui TikTok, manakala 44% melalui Instagram.
Platform ini berfungsi sebagai alat penemuan dan mempengaruhi keputusan pembelian mereka. Pengaruh rakan sebaya dan nilai keaslian amat penting. Golongan muda lebih mempercayai kandungan media sosial yang tulen, termasuk saranan pempengaruh serta ulasan pelanggan, berbanding dengan iklan tradisional.
Tinjauan oleh Statista (2024) mendapati hampir 75% Gen Z Malaysia menganggap ulasan pelanggan sebagai sumber yang boleh dipercayai dan membantu mereka dalam membuat keputusan pembelian dalam talian.
Berbelanja secara bijak dan lestari
Berbeza daripada tanggapan bahawa anak muda gemar berbelanja secara boros, Gen Z di Malaysia membuktikan sebaliknya. Laporan oleh Euromonitor International yang dipetik oleh Marketing-Interactive (2024) menunjukkan bahawa 50% belia Malaysia aktif menyimpan wang dan 30% berusaha mengurangkan perbelanjaan terhadap barangan yang tidak penting.

Norma baharu: Beli sekarang, bayar kemudian
Menurut Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), pada tahun 2023, seramai 77.3 juta rakyat Malaysia telah melakukan transaksi Buy Now, Pay Later (BNPL) yang bernilai RM6.2 bilion. Gen Z merupakan peneraju utama trend ini, dengan 3.7 juta akaun BNPL dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Gen Z di Malaysia menyangkal tanggapan bahawa anak muda gemar berbelanja secara boros dengan mencari alternatif perbelanjaan yang lebih murah.
Perkhidmatan seperti Atome, Shopee PayLater dan Grab PayLater mendapat sambutan hangat kerana fleksibiliti dan kemudahan penggunaannya. BNPL kini dilihat sebagai alternatif kepada kad kredit, khususnya dalam kalangan pengguna muda yang mempunyai sejarah kredit terhad.
E-Dompet menggantikan tunai
Malaysia merupakan antara negara teratas dengan penggunaan e-dompet, dan Gen Z menjadi pemacu utamanya. Laporan Runcit Adyen 2024 menunjukkan 63% rakyat Malaysia menggunakan dompet digital seperti Touch ‘n Go, GrabPay dan Boost.
Peralihan ini dipacu oleh permintaan Gen Z terhadap kepantasan, kecekapan dan ganjaran. Kira-kira 41% rakyat Malaysia lebih suka menggunakan ciri sentuh- untuk-bayar di telefon berbanding dengan kad fizikal.

Harapan tinggi terhadap jenama
Gen Z dikenali dengan prinsip yang tegas dan harapan yang tinggi. Menurut laporan NielsenIQ dan TotallyAwesome 2024, Gen Z mengutamakan kemampuan membeli dan kredibiliti tanpa mengetepikan nilai etika.
Kelestarian alam sekitar, ketelusan dan tanggungjawab sosial korporat sangat mempengaruhi kesetiaan mereka terhadap jenama. Gen Z lebih berminat dengan sesuatu jenama yang berkongsi secara terbuka mengenai usaha kelestarian, penggunaan sumber yang beretika serta penglibatan dengan komuniti.
Sebaliknya, syarikat yang dianggap menindas atau tidak jujur boleh dikecam dengan pantas di media sosial.
Melangkah ke hadapan
Menjelang tahun 2030, Gen Z dijangka menjadi sebahagian besar daripada tenaga kerja dan pengguna di Malaysia. Perniagaan yang telus, beretika, dan berkemahiran digital yang seiring dengan keperluan Gen Z akan lebih berpotensi untuk berjaya dalam jangka panjang.
Seperti yang ditegaskan oleh ramai pakar, memahami Gen Z bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Generasi ini bukan sekadar membeli produk; mereka membeli nilai dan prinsip yang dijulang oleh sesuatu jenama.
Perniagaan yang gagal memahami keperluan Gen Z mungkin tidak lagi relevan dalam pasaran akan datang.
Sumber: Dr Juzaimi Nasuredin, Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).