Pakej Murah, Risiko Tinggi: Elak Jadi Mangsa Penipuan Pelancongan
Disebabkan banyak kes penipuan pelancongan yang berleluasa, artikel ini menghimpunkan kes-kes sebenar, risiko kewangan dan panduan praktikal bagi membantu orang ramai membuat keputusan yang lebih berhemah.

Ramai yang menyimpan impian untuk melancong ke luar negara, sama ada bercuti atau menunaikan umrah. Namun, risiko penipuan sering wujud, terutama apabila berdepan dengan tawaran pakej murah yang tidak masuk akal.
Kes sebenar 1: Pakej murah ke Eropah
Seorang pengguna, Puan Salmah, telah membuat tempahan pakej percutian ke Eropah melalui seorang ejen pelancongan yang tidak dikenali melalui WhatsApp dengan harga RM12,000 untuk dua orang. Tawaran ini dilihat terlalu murah berbanding dengan harga pasaran, lengkap dengan segala servis dan kemudahan yang diperlukan seperti hotel 4 bintang, perkhidmatan pemandu pelancong peribadi dan juga pakej makanan yang menarik. Puan Salmah telah membuat bayaran penuh seperti yang diminta oleh ejen pelancongan tersebut. Beberapa minggu sebelum tarikh berlepas, syarikat tersebut gagal dihubungi dan siasatan lanjut mendapati syarikat itu tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Akibatnya, mangsa kehilangan wang simpanan yang telah lama dikumpul.
Kes sebenar 2: Penipuan umrah
Seorang guru bersara, Encik Rahman, telah mendaftar untuk pakej umrah dengan kos RM8,000 seorang. Agensi tersebut telah menjanjikan penginapan hotel 4 bintang, jarak hotel yang dekat dengan Masjidil Haram dan penerbangan terus ke Jeddah. Namun, sebaik-baik sahaja tiba di tanah suci, mereka ditempatkan di hotel yang jauh daripada Masjidil Haram dan tiket pulang ditangguh beberapa kali. Aduan telah dibuat ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan tribunal memutuskan pampasan separa dibayar. Walaupun sebahagian daripada kerugian kewangan telah dibayar balik, pengalaman umrah meninggalkan trauma dan kesan emosi.

Kes-kes ini membuktikan bahawa pelancongan bukan sekadar soal pengalaman, tetapi juga berkait rapat dengan keselamatan kewangan pengguna. Penipuan pakej murah sering berlaku kerana pengguna mudah terpengaruh dengan tawaran harga rendah tanpa menyemak latar belakang syarikat.
Celik kewangan digital dan kesedaran undang-undang perlu dipertingkat, bukan sahaja melalui kempen tetapi juga melalui bahan bacaan awam seperti majalah kewangan. Jika pengguna lebih berwaspada, impian melancong dapat dicapai tanpa bertukar menjadi mimpi ngeri kewangan.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)