Menjamin Kualiti Dan Keselamatan: Peranan SIRIM Dan MCMC Dalam Kelulusan Smart Meter

Smart Meter perlu melalui proses penilaian yang ketat oleh SIRIM dan MCMC sebelum dipasang di rumah kediaman pengguna bagi tujuan perlindungan keselamatan.



DI era transformasi digital dalam sektor tenaga, penggunaan Smart Meter semakin berkembang di Malaysia. Smart Meter ini tidak hanya merekod penggunaan elektrik secara automatik, bahkan berperanan penting membantu pengguna memantau penggunaan tenaga harian serta mengurus perbelanjaan elektrik dengan lebih bijak.

Namun, sebelum Smart Meter dipasang di kediaman pengguna, ia perlu melalui proses penilaian yang ketat bagi memastikan keselamatan, kebolehpercayaan dan ketepatan bacaan. Dalam hal ini, SIRIM Berhad memastikan pematuhan piawaian teknikal dan keselamatan peranti, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengawal selia aspek komunikasi data. Seterusnya, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan PETRA memainkan peranan penting dalam melindungi kepentingan pengguna serta menjamin kelestarian sistem tenaga negara.


Proses kelulusan: Ujian dan piawaian berlapis

Sebelum pemasangan Smart Meter di rumah kediaman pengguna, ia perlu menjalani beberapa peringkat kelulusan yang ketat bagi memastikan ia benar-benar selamat, tepat, dan boleh dipercayai. Proses ini bermula di peringkat pengilang, yang mana meter akan diuji di makmal untuk menilai prestasi serta ketahanannya dalam pelbagai situasi. Sekiranya meter lulus ujian ini, ia akan menerima sijil SIRIM-ST, iaitu satu bentuk pengiktirafan rasmi bahawa produk tersebut memenuhi piawaian keselamatan dan teknikal yang ditetapkan. Selepas itu, meter perlu mendapatkan type approval daripada MCMC. Kelulusan ini memastikan sistem komunikasi tanpa wayar yang digunakan oleh meter – seperti RF Mesh – tidak mengganggu frekuensi lain dan mematuhi peraturan keselamatan komunikasi digital. Ini penting untuk melindungi data pengguna dan memastikan tiada gangguan kepada sistem komunikasi lain di rumah atau kawasan sekitar.

Namun, kelulusan tidak berakhir di situ. Setelah dipasang, meter akan terus dipantau oleh pihak TNB melalui sistem pemantauan jarak jauh dan juga audit berkala bagi memastikan ia berfungsi dengan baik sepanjang tempoh penggunaannya.


Gabungan peranan SIRIM dan MCMC bukan sahaja menjaga keselamatan pengguna dari segi fizikal dan digital, tetapi turut menjamin integriti sistem tenaga nasional. Sekiranya Smart Meter tidak diuji, ia boleh mengakibatkan bacaan tidak tepat, kerosakan pada peralatan elektrik, atau lebih buruk, berlakunya kebakaran rumah. Dalam aspek siber pula, kebocoran maklumat boleh membuka ruang kepada kecurian identiti atau penyalahgunaan data pengguna. Bagi pengguna biasa, proses ini mungkin tidak dapat dilihat secara langsung. Namun, hasilnya dapat dirasai apabila pengguna membuka aplikasi myTNB untuk melihat bacaan penggunaan harian yang tepat atau menerima bil elektrik yang setara dengan penggunaan sebenar. Ketelusan, kecekapan dan keselamatan yang dinikmati pengguna hari ini adalah hasil daripada sistem kawal selia yang teliti.

Kesimpulannya, kemajuan teknologi tenaga tidak akan bermakna jika aspek keselamatan dan kualiti diabaikan. Dengan adanya kawalan yang ketat oleh SIRIM dan MCMC, pengguna boleh yakin bahawa Smart Meter yang dipasang di rumah mereka telah melalui proses penilaian yang menyeluruh. Dengan perkembangan dunia digital yang semakin maju, keselamatan pengguna dan keutuhan sistem tenaga merupakan hak yang mesti dijamin, dan ia dilaksanakan secara konsisten oleh dua institusi penting negara ini.


Sumber: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)