Revolusi Pengurusan Tenaga Dengan Bagaimana Unjuran Permintaan Elektrik Melindungi Pengguna: Peranan Penting Demand Forecast Committee (DFC)

Unjuran permintaan elektrik yang tepat merupakan kunci dalam memastikan bekalan tenaga negara sentiasa stabil, selamat dan berdaya tahan.



TENAGA elektrik adalah nadi kepada kehidupan moden. Daripada pencahayaan rumah, operasi kilang, sehinggalah pengecas telefon pintar, semuanya memerlukan bekalan elektrik yang stabil dan berterusan. Namun, pernahkah kita terfikir bagaimana bekalan tenaga ini dirancang supaya sentiasa mencukupi, tanpa pembaziran atau kekurangan? Di sinilah terletaknya peranan penting Demand Forecast Committee (DFC).

Apa itu DFC?
DFC merupakan platform bagi mendapatkan input dan nasihat daripada pihak-pihak berkepentingan dan berkepakaran berhubung unjuran pertumbuhan ekonomi, teknologi, dan polisi terkini serta permintaan elektrik. Mesyuarat DFC dipengerusikan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan disertai oleh wakil-wakil Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Sustainable Energy Development Authority (SEDA), Unit Perancangan Ekonomi Negara Sabah, TNB, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Sarawak Energy Berhad, SB Semenanjung dan Sabah, GSO Semenanjung, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia dan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). Matlamat utama DFC adalah untuk membangunkan unjuran permintaan elektrik bagi tempoh masa tertentu – biasanya lima hingga dua puluh tahun akan datang.

Hasil unjuran permintaan elektrik yang diluluskan oleh DFC akan digunapakai dalam Pelan Pembangunan Penjanaan di Semenanjung dan Sabah untuk kelulusan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) di peringkat Kementerian. Unjuran permintaan ini bukan dibuat secara rambang tetapi ia berdasarkan data penggunaan elektrik semasa, pertumbuhan ekonomi, pembangunan bandar, pola penggunaan isi rumah dan industri, serta faktor-faktor seperti perubahan iklim dan trend teknologi (contohnya pertambahan kenderaan elektrik atau penyejukan udara di kawasan bandar).


DFC dan masa depan pengguna
Dalam menghadapi cabaran seperti perubahan iklim dan pertumbuhan bandar yang semakin pesat, peranan DFC menjadi semakin penting. Pengguna masa depan mungkin menggunakan lebih banyak tenaga untuk kenderaan elektrik, peralatan rumah dan sistem penyejukan pintar. Tanpa ramalan dan perancangan yang teliti, negara boleh terdedah kepada krisis tenaga yang memberi kesan langsung kepada pengguna.

Ramalan yang dilakukan DFC juga menjadi rujukan kepada dasar-dasar tenaga negara. Sebagai contoh, keputusan untuk membina loji jana kuasa baharu, menggantikan loji lama, atau memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, semuanya berdasarkan unjuran permintaan elektrik yang dibuat oleh DFC.

Walaupun pengguna biasa mungkin tidak menyedari kewujudan DFC, namun begitu peranannya sangat penting dalam memastikan hidup kita tidak terganggu dengan isu bekalan elektrik. DFC berfungsi secara senyap tetapi signifikan – memastikan bahawa apabila pengguna menekan suis, lampu tetap menyala. Sebagai pengguna, kita seharusnya menghargai usaha di sebalik tabir ini dan menyokong inisiatif tenaga yang lebih lestari untuk masa depan bersama.


Sumber: Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Tenaga (ST)