“Soft Saving”: Tabungan Mudah Untuk Generasi Muda
Amalan soft saving menandakan evolusi cara berfikir Generasi Z yang mahu menyeimbangi keperluan masa depan dengan kepentingan masa kini

Dalam landskap kewangan masa kini, Generasi Z — mereka yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012 — memperlihatkan cara baharu dalam menguruskan kewangan peribadi. Jika sebelum ini golongan muda sinonim dengan budaya perbelanjaan tinggi dan kurang menabung, kini muncul satu amalan yang semakin mendapat perhatian, iaitu soft saving.
Soft saving merujuk kepada amalan menabung secara lebih fleksibel dan tidak terlalu berat, dengan memberi tumpuan kepada keseimbangan antara simpanan dan kualiti hidup. Pendekatan ini menolak pandangan tradisional bahawa menabung bermaksud perlu berkorban sepenuhnya untuk masa depan, sebaliknya ia menekankan keseimbangan antara kestabilan kewangan dan kesejahteraan diri.
Memahami konsep Soft Saving
Secara asasnya, soft saving ialah tabiat menyimpan wang dalam jumlah yang kecil dan konsisten tanpa tekanan untuk mencapai sasaran yang besar.
Berdasarkan laporan RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) 2025, generasi ini didapati semakin kerap menabung, merancang kewangan dan menunjukkan peningkatan dalam pengurusan wang. Kemajuan ini mungkin perlahan, namun ia menandakan perubahan jelas ke arah tabiat kewangan yang lebih baik.
Antara amalan yang popular termasuk:
- Pemindahan wang berjumlah kecil secara automatik ke akaun simpanan setiap minggu atau bulan.
- Menyimpan baki pembelian melalui sistem round-up (contohnya, lebihan daripada RM9.50 dibundarkan kepada RM10 dan 50 sen dimasukkan ke dalam simpanan).
- Membahagikan simpanan mengikut tujuan tertentu seperti tabung kecemasan, percutian atau hobi.
Pendekatan ini lebih rasional dan sesuai dengan gaya hidup Generasi Z yang menghargai keseimbangan antara tanggungjawab kewangan dan kepuasan hidup.




Kesimpulan
Soft saving bukan sekadar trend, tetapi refleksi daripada perubahan nilai dan realiti kewangan masa kini. Ia menandakan evolusi cara berfikir Generasi Z yang mahu menyeimbangi keperluan masa depan dengan kepentingan masa kini. Walaupun pendekatan ini lebih santai, disiplin tetap menjadi asas utama tabungan. Bagi Generasi Z, mesej yang perlu dihayati ialah: Simpanan yang kecil tetapi konsisten adalah lebih baik daripada tiada simpanan langsung. Dengan kesedaran kewangan, penggunaan teknologi yang bijak dan disiplin diri, soft saving berpotensi menjadi strategi kewangan lestari yang sesuai dengan gaya hidup moden.
Sumber: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)