Impian Atau Beban? Fahami Kos Sebenar Memiliki Kereta Pertama
Panduan untuk membantu rakyat Malaysia menilai sama ada masa ini benar-benar sesuai untuk mengambil tanggungjawab kewangan jangka panjang.

Setiap orang ada kereta impian — mungkin jenis yang bergaya atau praktikal, atau apa sahaja asalkan bukan kereta lama milik ayah (kalau anda tanya saya, Mazda 3 jenis hatchback menjadi pilihan hati). Memiliki kereta pertama selalunya membuatkan seseorang berasa teruja, seolah-olah satu peralihan penting dalam kehidupan dewasa.
Namun, impian itu bukan sahaja memerlukan belanja besar, tetapi juga komitmen kewangan yang berpanjangan. Berikut ialah beberapa faktor yang boleh dipertimbangkan untuk membantu anda menentukan sama ada waktu ini sesuai atau tidak untuk memiliki kereta pertama, dengan mengambil kira perancangan kewangan dan kos sebenar pemilikan.
Mengapa anda mahukan kereta?
Sebelum anda mula membandingkan model atau menyemak pinjaman kereta, penting untuk anda memahami sebab sebenar anda mahu memiliki kereta.
- Adakah untuk berulang-alik ke tempat kerja kerana pengangkutan awam kurang praktikal?
- Adakah kerana orang lain sudah ada kereta sendiri?
- Adakah untuk memudahkan urusan keluarga dan tanggungjawab harian?
- Adakah sekadar mahukan keselesaan dan kebebasan bergerak?
Apabila anda jelas tentang keperluan sebenar, lebih mudah untuk membezakan antara kehendak dengan keperluan. Jika ia lebih kepada kehendak, mungkin pembelian boleh ditangguhkan dahulu dan anda boleh fokus pada keperluan lain yang lebih mendesak dalam perancangan kewangan anda.
Kos tersembunyi dalam pemilikan kereta
Setelah anda memahami sebab anda mahu memiliki kereta, langkah seterusnya ialah menilai kemampuan kewangan secara realistik. Harga di bilik pameran hanyalah sebahagian kecil daripada kos sebenar pemilikan sebuah kereta. Pemilikan kereta datang dengan pelbagai kos berterusan yang perlu diambil kira:

- Bayaran bulanan pinjaman: Kebanyakan pembeli kali pertama mengambil pinjaman sewa beli antara 7 hingga 9 tahun.
- Insurans kereta dan cukai jalan: Biasanya ia lebih tinggi untuk pemandu muda atau baharu dan bergantung kepada saiz kereta.
- Minyak, parkir dan tol: Kos kecil tetapi cepat meningkat.
- Servis dan penyelenggaraan: Ini termasuk tayar, servis berkala, bateri dan kerosakan yang tidak dijangka.
Sebagai panduan, cuba pastikan jumlah perbelanjaan berkaitan dengan kereta tidak melebihi 10% atau 15% daripada pendapatan bulanan anda.
Kereta baharu memang ada tarikannya — serba moden, dilengkapi teknologi terkini serta mempunyai waranti daripada pengeluar. Namun begitu, harganya lebih tinggi dan nilainya mula susut sebaik sahaja keluar dari bilik pameran.
Sebaliknya, kereta terpakai yang dijaga dengan baik boleh menjadi pilihan yang lebih berbaloi. Harganya lebih rendah dan anda mungkin memperoleh model yang masih dalam keadaan baik dengan kos pemilikan yang lebih terkawal.
Sebelum membuat keputusan, pertimbangkan bajet anda, keperluan harian dan kos jangka panjang seperti penyelenggaraan serta insurans kereta. Kadangkala, kereta terpakai berusia 2 hingga 3 tahun sudah memadai untuk kegunaan harian dan harganya jauh lebih mampu milik.

Perlu beli kereta sekarang atau ada pilihan lain?

Pilihan paling bijak ialah menangguhkan dahulu pembelian kereta, bergantung pada situasi dan keperluan individu. Jika tren, bas atau perkhidmatan e-hailing boleh membawa anda ke mana-mana destinasi dengan mudah, kereta mungkin menjadi kemudahan yang mahal. Tambahan pula, menjadi penumpang juga ada kelebihannya, kerana anda tidak perlu mencari parkir, membayar tol atau risau tentang harga petrol.
Jika kebanyakan jawapan anda ialah “tidak”, mungkin lebih baik menangguhkan dahulu dan mempertimbangkan pilihan pengangkutan lain yang ada. Apa juga keputusan anda, yang penting ialah membuat pilihan yang sesuai dengan keadaan kewangan dan gaya hidup anda.
Memiliki kereta sendiri menjadikan seseorang berasa lebih bebas dan berdikari. Namun, ia juga datang bersama tanggungjawab yang perlu dipikul.
Kereta pertama anda boleh memudahkan kehidupan dan memberi lebih keselesaan, tetapi fikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan. Pastikan ia benarbenar sesuai dengan keperluan dan kemampuan anda, kerana apabila kunci sudah di tangan, kereta itu menjadi tanggungjawab anda sepenuhnya — sama ada dalam hal yang menyenangkan atau yang mencabar.

Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)