Perangkap “Rawatan Percuma”: Apabila Promosi Kecantikan Menjadi Perangkap Kewangan

Apabila tawaran kelihatan terlalu baik untuk dilepaskan, pengguna sering dipaksa membuat keputusan kewangan secara tergesa-gesa.


>

Dalam era media sosial, tawaran iklan “free trial slimming”, “facial RM1” atau “baucar spa percuma” seolah-olah peluang keemasan kepada pengguna untuk mencuba rawatan tanpa melibatkan kos kewangan. Namun, di sebalik janji manis itu, semakin ramai pengguna tampil membuat aduan mengenai modus operandi ‘Rawatan Percuma’.

Menurut Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), aduan terhadap pusat perkhidmatan kesejahteraan (wellness) dan kecantikan meningkat lebih 30% pada tahun 2025, dengan sebahagian besar melibatkan pengguna yang diperdaya melalui promosi percuma atau diskaun besar-besaran. Ia bukan sahaja melibatkan golongan wanita berumur bawah 40 tahun, malahan golongan warga emas turut terperdaya dengan perkhidmatan tersebut.

>

Mengapa promosi percuma mudah menjerat pengguna
Kebanyakan kes sebegini menggunakan teknik tekanan psikologi (psychological pressure selling) untuk mendesak pelanggan membuat keputusan segera. Ayat-ayat yang biasa digunakan termasuk:

  • Promosi hari ini sahaja menimbulkan rasa takut terlepas tawaran.
  • Hanya bayar deposit kecil sebenarnya pintu masuk kepada komitmen besar.
  • Tandatangan dahulu, boleh batal kemudian padahal dokumen selalunya sah dari segi undang-undang sebaik ditandatangani dan sukar dibatalkan.
  • Beli untuk kebaikan diri memanipulasi emosi supaya pelanggan rasa bersalah jika menolak.

Kesemua elemen ini menjadikan pengguna, khususnya golongan wanita dan pekerja baharu, sasaran mudah bagi jualan manipulatif. Beberapa aduan terkini turut menunjukkan trend baharu: pusat kesejahteraan dan kecantikan menggunakan kemudahan BNPL bagi memudahkan pelanggan berhutang.

Walaupun konsep BNPL sah dan mudah, masalah timbul apabila ia digunakan tanpa kebenaran yang jelas atau penjelasan penuh. Kelewatan bayaran BNPL boleh menjejaskan skor kredit (CCRIS) dan caj lewat bayar boleh meningkat sehingga 2–3% sebulan.

Tindakan yang boleh diambil

Jika anda menjadi mangsa amalan jualan paksaan atau pembelian tanpa kerelaan, langkah-langkah berikut boleh diambil:

  • Kumpul bukti seperti resit, mesej, tangkap layar atau rakaman suara.
  • Laporkan kepada NCCC di www.nccc. org.my.
  • Failkan aduan rasmi kepada KPDN melalui portal eaduan.kpdn. gov.my/.
  • Bawa kes ke TTPM untuk menuntut pemulangan wang sehingga RM50,000.
  • Berhati-hati dengan “resit tidak rasmi” atau “urusan lisan” kerana sukar dijadikan bukti tuntutan.

Kesimpulannya, jadilah pengguna yang celik maklumat. Jangan mudah percaya pada iklan dan jangan takut untuk berkata “tidak” kerana dalam dunia pemasaran hari ini, kebijaksanaan kewangan ialah kecantikan sebenar.

Sila layari www.nccc.org.my dan klik E-ADUAN untuk membuat sebarang aduan. Pengguna juga boleh menghubungi NCCC di talian 03-7877 1076.


Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)