Siapa Kita dalam Setiap Ringgit yang Kita Belanjakan?

Kesejahteraan kewangan bukan sekadar tentang kemampuan berbelanja, tetapi tentang memahami nilai, keutamaan dan erti “cukup” dalam kehidupan


SETIAP ringgit yang kita belanjakan ialah satu keputusan.
Setiap keputusan yang kita lakukan akan menentukan kesejahteraan masa depan.


Kita membeli kerana perlu.

Adakala kita membeli kerana mahu. 
Mahu dilihat berjaya.

Dalam kehidupan seharian, kita membuat pelbagai keputusan dengan wang — apa yang hendak dibeli, apa yang hendak dimiliki dan apa yang sanggup kita tangguhkan.

Namun, di sebalik setiap keputusan itu, ada satu soalan yang jarang kita tanyakan:

“Adakah saya benar-benar memerlukan ini, atau saya cuma mahu semata-mata memilikinya?”

Dalam dunia yang sentiasa memperlihatkan siapa yang lebih berjaya, lebih bergaya dan lebih “berada”, mudah untuk kita membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain.

Telefon yang lebih baharu.
Kereta yang lebih mahal.
Rumah yang lebih besar.
Gaya hidup yang kelihatan lebih sempurna.

Tanpa disedari, kita mungkin bukan sekadar membeli sesuatu yang kita mahukan.


Kita sedang membeli gambaran tentang siapa yang kita mahu jadi — atau bagaimana kita mahu dilihat oleh orang lain.


Di sinilah keputusan kewangan menjadi lebih daripada soal angka.


Apabila keinginan untuk kelihatan berjaya mula mempengaruhi cara kita berbelanja, kita mungkin membuat komitmen yang tidak lagi selari dengan kemampuan, keutamaan atau kehidupan yang sebenarnya kita mahu bina.


Jadi, dalam membuat keputusan kewangan, kita sering bertanya:


“Mampukah saya?”


Soalan itu penting.
Tetapi mungkin ada satu lagi soalan yang lebih penting:


“Adakah ini benar-benar penting bagi saya?”


Kerana sesuatu yang mampu kita beli, belum tentu sesuatu yang perlu kita miliki.

Dan sesuatu yang kelihatan mampu hari ini, belum tentu selesa untuk kita tanggung pada hari esok.

Kesejahteraan kewangan bukan tentang memiliki lebih banyak. Ia tentang mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan yang benar-benar bermakna kepada kehidupan kita. 

Sebuah telefon baharu mungkin lebih canggih, tetapi telefon yang kita gunakan masih berfungsi dengan baik.

Sebuah kereta yang lebih mahal mungkin memberikan lebih keselesaan, tetapi adakah komitmennya selari dengan pendapatan dan keutamaan kita?

Percutian pula mungkin memberikan pengalaman yang bermakna. Tetapi jika kita terpaksa menanggung hutang atau mengorbankan keperluan yang lebih penting untuk membiayainya, adakah ia benar-benar membawa kita lebih dekat kepada kehidupan yang kita inginkan?

Tidak salah untuk menikmati hasil usaha sendiri.




Apabila wang mula menentukan nilai diri


Wang sepatutnya menjadi alat untuk membantu kita mencapai kehidupan yang kita inginkan.


Namun, apabila kita terlalu kerap membandingkan diri dengan orang lain, wang mudah berubah menjadi ukuran kejayaan.


Kita mungkin mula merasakan kita perlu memiliki sesuatu supaya kelihatan berjaya.


Kita mungkin menaik taraf telefon walaupun yang lama masih elok.


Kita mungkin mengambil komitmen yang lebih tinggi kerana mahu memiliki kereta tertentu.


Kita mungkin berbelanja lebih daripada kemampuan kerana tidak mahu ketinggalan dengan gaya hidup orang di sekeliling.


Dalam keadaan ini, keputusan kewangan bukan lagi semata-mata tentang apa yang kita perlukan.



Ia mula dipengaruhi oleh bagaimana kita melihat diri sendiri — dan bagaimana kita mahu dilihat oleh orang lain.


Sebab itu, kesejahteraan kewangan bukan hanya apabila tahu mengurus wang.

Ia juga apabila kita tahu mengapa kita berbelanja.

Dan kesannya bukan terhenti pada dompet kita.




Nilai kita menentukan arah wang kita


Literasi kewangan penting.


Kita perlu tahu cara membuat bajet, membina simpanan, mengurus hutang, mendapatkan perlindungan dan merancang masa depan.


Tetapi pengetahuan kewangan perlu diterjemahkan kepada tindakan.


Dan tindakan kita banyak dipengaruhi oleh nilai serta keutamaan hidup.


Jika keluarga menjadi keutamaan, kita mungkin memilih kestabilan kewangan berbanding simbol status.


Jika ketenangan fikiran penting bagi kita, kita mungkin memilih untuk hidup dalam lingkungan kemampuan walaupun kita mampu mengambil komitmen yang lebih besar.


Jika masa bersama orang tersayang menjadi keutamaan, kita mungkin lebih berhati-hati mengambil komitmen kewangan yang memerlukan kita bekerja tanpa henti.


Jika kesederhanaan ialah pegangan kita, kita mungkin lebih mudah membezakan antara apa yang perlu, apa yang mahu dan apa yang boleh ditangguhkan.


Tiada satu ukuran kehidupan yang sesuai untuk semua orang.


Yang penting, wang kita bergerak ke arah kehidupan yang benar-benar mahu kita bina. 


Kemajuan mengikut acuan kita


Kemajuan tidak semestinya bermaksud memiliki lebih banyak daripada orang lain.


Ia juga bukan tentang mengejar setiap trend, gaya hidup atau ukuran kejayaan yang kita lihat di sekeliling.


Kemajuan yang bermakna ialah kemajuan yang meningkatkan kesejahteraan — untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.


Nilai seperti kekeluargaan, kejiranan, gotong-royong, saling membantu, kesederhanaan dan hormat-menghormati telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.


Nilai-nilai ini mungkin tidak mempunyai tanda harga.


Tidak semuanya boleh dipamerkan di media sosial.


Namun, ia mempunyai nilai yang jauh lebih besar apabila kita berdepan dengan cabaran, ketidakpastian dan perubahan.


Belajar mengenal “cukup”


Dalam dunia yang sentiasa memberitahu kita bahawa kita memerlukan lebih — lebih banyak pendapatan, lebih banyak harta, lebih baharu, lebih besar dan lebih mewah — mengenal pasti apa yang “cukup” merupakan satu bentuk kebijaksanaan kewangan.


“Cukup” bukan bermaksud kita berhenti bercita-cita.


Bukan juga bermaksud kita tidak boleh menikmati hasil usaha sendiri.


Sebaliknya, “cukup” bermaksud kita tahu apa yang penting, tahu had kemampuan dan tahu bila perlu berhenti mengejar sesuatu yang tidak lagi menambah nilai kepada kehidupan.


Kita masih boleh mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri.


Kita masih boleh menikmati kereta yang selesa.


Kita masih boleh melancong, menikmati kehidupan dan memberikan yang terbaik kepada keluarga.


Tetapi sebelum membuat keputusan, tanya diri sendiri:


“Adakah pilihan ini membawa saya lebih dekat kepada kehidupan yang saya inginkan — atau sekadar lebih dekat kepada kehidupan yang orang lain anggap berjaya?”


Apabila kita tahu apa yang “cukup”, kita tidak mudah terperangkap dalam perlumbaan untuk sentiasa memiliki lebih.


Kita boleh terus berkembang tanpa mengorbankan ketenangan.


Kita boleh mencapai lebih banyak tanpa membebankan diri dengan komitmen yang tidak perlu.


Dan kita boleh menikmati kehidupan hari ini sambil terus membina masa depan.



Sumber:
 Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)