Derma secara Sukarela atau Akibat Tekanan? Hak Pengguna dalam Kutipan Sumbangan Melalui Bank
BAYANGKAN telefon anda tiba-tiba berdering. Pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai pegawai bank dan menyebut nama penuh serta nombor kad pengenalan anda dengan tepat. Tanpa disedari, maklumat tersebut membuatkan anda lebih yakin bahawa panggilan itu benar-benar daripada pihak bank.
Namun, tujuan panggilan tersebut bukanlah berkaitan dengan urusan perbankan, sebaliknya untuk mendapatkan sumbangan kebajikan secara bulanan. Pemanggil mula berkongsi tentang kisah menyayat hati berkenaan dengan kanak-kanak yang kelaparan di Sudan, golongan belia di Syria yang memerlukan rawatan perubatan kritikal serta pelbagai krisis kemanusiaan yang lain.
Pada mulanya, anda berasa ragu-ragu dan belum bersedia untuk memberikan sumbangan. Namun, pemanggil terus mendesak dengan menekankan betapa besarnya manfaat sumbangan tersebut kepada golongan yang memerlukan. Akhirnya, anda mengalah kerana berasa bersalah sekiranya menolak permintaan itu.
Akhirnya, anda bersetuju untuk menderma. Namun, adakah persetujuan itu benar-benar diberikan secara sukarela?
Pemanggil kemudiannya mencadangkan sumbangan sebanyak RM60 sebulan. Anda mula berasa bimbang kerana jumlah tersebut agak membebankan, lalu mencadangkan sumbangan yang lebih kecil mengikut kemampuan. Namun, pemanggil terus mendesak agar anda bersetuju dengan jumlah yang lebih tinggi. Akhirnya, setelah beberapa kali berunding, anda bersetuju untuk menyumbang RM30 sebulan, bukan kerana benar-benar rela, tetapi semata-mata untuk menamatkan perbualan yang semakin tidak selesa. Sejak itu, RM30 dipotong secara automatik daripada akaun bank anda pada setiap bulan sebagai sumbangan kebajikan.
Tahukah anda tentang perkara yang paling membimbangkan dalam situasi ini? Panggilan tersebut tidak semestinya suatu penipuan (scam). Sebaliknya, ia mungkin sebahagian daripada kempen kutipan derma yang sah, hasil kerjasama antara institusi kewangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun, penggunaan kaedah telepemasaran yang agresif menimbulkan persoalan yang serius tentang hak dan perlindungan pengguna. Dengan mengambil kesempatan terhadap kepercayaan pelanggan, pegawai bank menggunakan tekanan emosi dan rasa bersalah untuk mempengaruhi keputusan pelanggan, sehingga ada yang akhirnya bersetuju dengan potongan derma bulanan yang sebenarnya tidak diinginkan oleh mereka.
Banyak pengguna yang terkesan tidak berpuas hati apabila berdepan dengan kesukaran untuk menghentikan potongan derma bulanan daripada akaun mereka. Ketiadaan kemudahan pembatalan secara layan kendiri (self-service) yang mudah menyebabkan pengguna terpaksa menghubungi pihak bank secara langsung untuk membuat permohonan pembatalan. Namun, berdasarkan pengalaman yang dikongsikan, proses tersebut sering kali rumit dan mengecewakan. Ada pengguna terpaksa menunggu terlalu lama di talian, berurusan dengan ejen khidmat pelanggan yang kurang membantu atau dipindahkan dari satu bahagian ke bahagian lain tanpa apa-apa penyelesaian. Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan pengguna, malah menimbulkan persoalan tentang hak mereka untuk menghentikan sumbangan secara sukarela pada bila-bila masa.
Penggunaan kaedah telepemasaran yang agresif menimbulkan persoalan yang serius tentang hak dan perlindungan pengguna.
Adakah Amalan Ini Sah di sisi Undang-undang? Ketahui Hak Anda sebagai Pengguna Perkhidmatan Kewangan
Sebagai badan pengawal selia, Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan bahawa institusi kewangan perlu melayan pengguna secara adil dan mengutamakan kepentingan mereka, khususnya golongan pengguna yang rentan (vulnerable consumers). Amalan taktik desakan yang agresif, tekanan untuk mendapatkan persetujuan terhadap potongan derma bulanan serta proses pembatalan yang sengaja dirumitkan merupakan amalan yang berpotensi untuk bercanggah dengan prinsip layanan adil yang ditetapkan oleh BNM.
Lebih membimbangkan, amalan sebegini turut membuka ruang kepada penipuan apabila sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai bank dan menggunakan kempen kutipan derma sebagai helah untuk memperdaya pengguna. Keadaan ini menjadi semakin berisiko apabila sesetengah pengguna menganggap bahawa pemanggil yang mengetahui nama penuh dan nombor kad pengenalan mereka semestinya daripada wakil bank yang sah.
Hakikatnya, kemampuan pemanggil menyebut maklumat peribadi anda dengan tepat tidak membuktikan bahawa mereka wakil bank yang sah. Maklumat tersebut mungkin diperoleh melalui kebocoran data atau sumber lain.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana amalan kutipan derma secara agresif oleh institusi kewangan bukan sahaja boleh melemahkan kesedaran pengguna terhadap risiko penipuan, malah berpotensi untuk menjejaskan keselamatan siber pelanggan mereka sendiri.
Apakah yang Perlu Dilakukan Jika Anda Menerima Panggilan Sebegini?
1. Kekal Bertenang dan Dengar dengan Teliti:
Perhatikan cara pemanggil memperkenalkan diri dan sama ada mereka cuba menimbulkan rasa terdesak dalam diri anda. Sentiasa berwaspada dengan kemungkinan bahawa pemanggil tersebut ialah seorang penipu. Jika anda tidak mengenali nombor tersebut dan berasa ragu-ragu, adalah lebih baik untuk mengabaikannya sahaja.
2. Jangan Sesekali Berkongsi tentang Maklumat Sensitif:
Walaupun pemanggil dapat menyebut nama dan nombor kad pengenalan anda dengan tepat, jangan sesekali berkongsi tentang maklumat sulit seperti kata laluan, nombor pengenalan peribadi (PIN), kata laluan sekali guna (OTP) atau kod pengesahan transaksi (TAC). Pihak bank tidak sepatutnya meminta maklumat keselamatan tersebut melalui panggilan telefon.
3. Berani Katakan “TIDAK”:
Anda tidak mempunyai apa-apa kewajipan untuk menderma. Jika tidak berminat, nyatakan dengan tegas, tetapi sopan, “Maaf, saya tidak berminat untuk membuat apa-apa sumbangan melalui telefon.”
4. Tamatkan Panggilan Jika Terus Didesak:
Jika pemanggil tidak menghormati keputusan anda dan terus mendesak, segera tamatkan panggilan. Anda tidak perlu berasa bersalah atau melayan pemanggil yang menggunakan tekanan untuk mendapatkan persetujuan anda.
5. Sahkan Identiti Pemanggil Melalui Saluran Rasmi:
Jika ragu-ragu, tamatkan panggilan dan hubungi bank melalui nombor khidmat pelanggan rasmi untuk mengesahkan kesahihan panggilan tersebut. Langkah ini dapat melindungi anda daripada sindiket penipuan atau taktik telepemasaran yang agresif.
Bagaimanakah Jika Anda Telah Bersetuju dengan Pemotongan Derma Bulanan?
Jika anda menghadapi kesukaran untuk membatalkan pemotongan derma bulanan, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (National Consumer Complaints Centre [NCCC]) boleh membantu anda. NCCC turut menerima aduan berkaitan dengan perkhidmatan perbankan dan kewangan serta membantu pengguna untuk berhubung dengan pihak bank bagi mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya.
Sekiranya masalah masih tidak dapat diselesaikan, NCCC juga boleh membantu untuk merujuk aduan kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti BNM untuk tindakan lanjut. Pengguna turut boleh mengemukakan aduan terus kepada BNM melalui saluran rasmi BNMLINK, bnmlink.bnm.gov.my. Melalui bantuan dan khidmat nasihat NCCC, pengguna dapat memahami hak mereka serta mendapatkan panduan dalam usaha menyelesaikan pertikaian dengan institusi kewangan.
Apakah yang Boleh Dijangkakan
Pengguna boleh memohon pemulangan wang bagi potongan derma yang telah dibuat, khususnya jika terdapat pertikaian tentang persetujuan. Namun, pemulangan wang tidak dijamin dan bergantung pada fakta, bukti serta penilaian setiap kes. Oleh itu, tindakan segera untuk menghentikan potongan dan mengemukakan aduan amat penting.
Sekiranya pemotongan telah berlarutan selama beberapa bulan, proses untuk mendapatkan pemulangan wang mungkin menjadi lebih rumit. Walau bagaimanapun, kelewatan membuat aduan tidak semestinya bermaksud pengguna telah bersetuju dengan potongan tersebut. Setiap kes perlu dinilai berdasarkan cara persetujuan diperoleh, terma yang dimaklumkan serta bukti yang dikemukakan oleh pengguna.
Oleh itu, pengguna dinasihati supaya menghubungi pihak bank dengan kadar segera untuk membatalkan pemotongan derma bulanan dan memohon pemulangan wang sekiranya persetujuan diperoleh melalui tekanan atau tanpa penjelasan yang mencukupi. Jika menghadapi kesukaran, pengguna boleh mendapatkan bantuan NCCC atau mengemukakan aduan kepada BNM melalui saluran rasmi bagi mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya.
Walaupun membantu golongan yang memerlukan ialah amalan mulia, kestabilan kewangan sendiri juga perlu dipelihara. Anda berhak untuk menentukan sama ada mahu menderma, masa untuk menderma dan jumlah yang ingin disumbangkan. Sifat murah hati yang sebenar lahir daripada keikhlasan, bukannya tekanan atau paksaan.
Sentiasa berwaspada apabila menerima panggilan sedemikian. Fahami hak anda, sahkan maklumat dan buat keputusan tanpa tekanan.
Sumber: Nuraiesya Khanoon binti Thariq Khan, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (National Consumer Complaints Centre [NCCC])