Program Subsidi Pembelian Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Keluarga Malaysia (MyCRS)

Pemilihan kerusi keselamatan kanak-kanak yang memenuhi standard, berupaya mengurangkan risiko kecederaan parah dan kematian akibat nahas jalan raya. Untuk menangani isu ini, Kerajaan Malaysia di bawah Bajet 2022 telah menyediakan Subsidi Pembelian Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Keluarga Malaysia (MyCRS) untuk kumpulan B40.



Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya tahun 2019, 19% daripada mangsa kemalangan jalan raya adalah golongan kanak-kanak. Daripada jumlah ini, sebanyak 1,276 kes melibatkan kematian. Penggunaan dan pemilihan kerusi keselamatan kanak-kanak yang memenuhi standard, bersesuaian dengan saiz dan umur kanak-kanak serta mematuhi tatacara pemakaian yang betul berupaya mengurangkan risiko kecederaan parah dan kematian akibat nahas jalan raya sehingga pada tahap 70%.


Untuk menangani isu ini, Kerajaan Malaysia di bawah Bajet 2022 telah menyediakan Subsidi Pembelian Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Keluarga Malaysia (MyCRS) untuk kumpulan B40. Skim ini diuruskan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.



Siapakah Yang Layak Memohon Subsidi Ini?

MyCRS ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah yang dikenali sebagai kumpulan B40 (kategori isi rumah). Berikut merupakan kriteria kelayakan pemohon subsidi ini:


  1. Penerima Bantuan Prihatin Rakyat 2021 (BPR 2021) dalam kalangan B40 (kategori isi rumah).
  2. Berkahwin dan mempunyai anak/anak angkat/anak jagaan berusia kurang daripada 12 tahun.
  3. Ibu/bapa tunggal/balu/janda/duda yang mempunyai anak berusia kurang daripada 12 tahun.
  4. Anak angkat mestilah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara.
  5. Warganegara yang menetap di Malaysia.


Bagaimanakah Cara Untuk Memohon MyCRS?

  1. Ibu bapa perlu membuat permohonan di laman sesawang www.mycrs.gov.my yang dibuka bermula 1 Mac 2022 sehingga 30 September 2022. Pastikan nama pemohon adalah sama dengan nama penerima BPR 2021.
  2. Keputusan permohonan boleh disemak di laman sesawang www.mycrs.gov.my bermula 1 April 2022 bagi permohonan yang dibuat sebelum 31 Mac 2022. Seterusnya, bagi permohonan yang dibuat selepas 1 April 2022, keputusan permohonan boleh disemak selepas tiga (3) hari bekerja.
  3. Sekiranya layak menerima subsidi, ibu bapa boleh terus membuat pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak dengan harga subsidi di mana-mana premis yang berdaftar dengan MIROS. Senarai premis yang berdaftar boleh didapati di laman sesawang MyCRS (www.mycrs.gov.my).
  4. Bagi anak yang baru dilahirkan sebelum 1 Oktober pada tahun 2022, ibu bapa boleh mengemukakan bukti kelahiran anak yang dilahirkan pada tahun 2022 berserta bukti yang ibu bapa juga merupakan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan mengemukakan emel kepada mycrs@miros.gov.my. Namun begitu, pihak MIROS akan sentiasa mengemaskini tarikh tutup permohonan ini tertakluk kepada ketersediaan baki subsidi.

Manfaat Subsidi MyCRS

Subsidi MyCRS dijangka boleh dimanfaatkan oleh 188,000 penerima, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM30 juta. Penerima yang berkelayakan dinasihatkan untuk segera membuat pembelian di premis yang tersenarai bagi mengelakkan kehabisan kuota. Potongan sebanyak 50% atau sehingga maksimum RM150 daripada harga jualan diberikan dalam program subsidi MyCRS ini. Berikut adalah perincian program subsidi bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak. Harga jualan adalah harga asal kerusi keselamatan kanak-kanak sebelum subsidi. 




Kriteria Produk Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Di Bawah Program MyCRS

Di bawah program MyCRS, ibu bapa hanya boleh membeli kerusi keselamatan kanak-kanak yang mematuhi piawaian standard UNR44 dan R129 dan diperakui sah oleh JPJ (mempunyai surat kelulusan jenis komponen), serta mempunyai label Kod QR MIROS.



Berikut adalah jenis-jenis kerusi keselamatan kanak-kanak mengikut kesesuaian fizikal kanak-kanak:



Sumber: www.mycrs.gov.my