Post-Mortem: Pengurusan Kewangan Menjelang Perayaan

Perancangan kewangan yang berhemah dapat membuat penjimatan kepada aliran tunai serta nilai bersih individu atau keluarga



Perayaan ialah sesuatu yang dinantikan oleh seluruh masyarakat Malaysia. Kanak-kanak terutamanya menantikan hari perayaan dengan penuh keriangan. Perayaan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga dan ahli masyarakat setempat. Malaysia dikatakan sebagai negara yang mempunyai paling banyak cuti perayaan berbanding dengan negara-negara lain.

Kanak-kanak mengharapkan baju baharu bagi menyambut perayaan. Hal ini menyebabkan ibu bapa merasa bertanggungjawab untuk menyediakannya setiap tahun. Ibu bapa yang berkemampuan mungkin tidak menghadapi masalah, namun buat mereka yang kurang berkemampuan, perasaan tertekan mungkin timbul seandainya gagal menyediakan pakaian tersebut untuk anak-anak mereka.

Ini boleh mencetuskan permasalahan kepada keluarga tersebut dan menjadi punca pergaduhan pasangan suami isteri. Kesudahannya, perayaan yang sepatutnya disambut dengan riang dan gembira boleh bertukar menjadi hari yang berdukacita akibat pertelingkahan dalam keluarga tersebut.

Perancangan kewangan peribadi dan keluarga

Rakyat Malaysia menyambut pelbagai perayaan setiap tahun. Ia boleh hadir dalam bentuk keagamaan, keturunan atau kelompok masyarakat di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.

Pada 10 April 2024 yang lalu, semua rakyat Malaysia yang beragama Islam sibuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Perkara yang tentunyaa diberikan tumpuan pada pagi Hari Raya adalah memastikan bahawa terdapat sekurang-kurangnya satu hidangan istimewa untuk meraikan hari perayaan tersebut. Tarikh 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri juga ialah waktu akhir untuk umat Islam membayar zakat fitrah.

Sekiranya perancangan kewangan untuk sambutan perayaan setiap tahun tidak diurus dengan baik, ia akan memberi impak yang negatif kepada aliran tunai dan nilai bersih individu dan keluarga terbabit.


Memandangkan perayaan disambut setiap tahun, kita boleh menggunakan pengalaman sambutan perayaan yang lepas sebagai panduan untuk merancang kewangan dengan lebih berkesan. Ramai yang menempah pakaian dengan mengeluarkan belanja yang tinggi untuk memastikan semua ahli keluarga memakai baju yang sedondon. Hakikatnya, ia bukanlah sesuatu keperluan.

Selain itu, ramai juga yang terpengaruh untuk membeli pakaian berjenama yang mahal. Sebenarnya, terdapat banyak pilihan harga baju yang lebih murah dan sesuai dengan kemampuan kita.

Seperti yang kita sedia maklum, saban tahun banyak kedai dan pasaraya akan mula mengadakan jualan murah bagi pakaian menjelang musim perayaan.

Mengapa perlu membazirkan duit untuk pakaian yang mahal dan mungkin hanya dipakai sekali setahun sahaja? Oleh sebab itu, lakukanlah perancangan kewangan beberapa bulan sebelum musim perayaan. Ini dapat mengelakkan perbelanjaan yang melebihi kemampuan.

Dengan perancangan kewangan yang berhemat bagi menyambut Hari Raya, individu atau keluarga tersebut dapat membuat penjimatan yang banyak terhadap aliran tunai serta nilai bersih mereka. Penjimatan tersebut dapat disalurkan kepada simpanan dan pelaburan yang dapat meningkatkan lagi nilai bersih mereka.

Dengan cara ini, anak-anak akan mendapat pakaian baharu untuk menyambut Hari Raya dan dalam masa yang sama, ibu bapa juga dapat berjimat dan memperkukuhkan strategi persediaan masa depan mereka.

Rancang awal, elak pembaziran

Perayaan yang disambut saban tahun bukanlah alasan untuk kita membazir, sebaliknya perlu dijadikan sebagai amalan untuk kita melakukan perancangan awal bagi mengelakkan pembaziran dalam menyambut sesuatu perayaan.

Dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri contohnya, umat Islam dilarang melakukan pembaziran kerana pembaziran ialah amalan syaitan. Tujuan kita menyambut Hari Raya adalah untuk beribadah kepada Allah SWT dan bukannya untuk melakukan perkara yang ditegah seperti pembaziran.

Perancangan kewangan peribadi dan keluarga bukanlah bertujuan mengekang kebahagiaan sesebuah keluarga dengan melarang mereka berbelanja, tetapi sebaliknya menggalakkan setiap keluarga merancang dengan penuh hemat agar tidak terjerumus ke dalam kancah hutang kerana gagal merancang kewangan dengan bijak.

Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) merupakan salah satu daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang amat aktif dalam mendidik ahli masyarakat secara percuma untuk membentuk masyarakat Malaysia yang celik kewangan. Pihak MFPC amat menggalakkan setiap ahli masyarakat agar mengamalkan pengurusan kewangan peribadi dan keluarga dengan bijak.

MFPC sering bekerjasama rapat dengan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang diketuai oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti  Malaysia (SC) berserta agensi kerajaan yang lain, termasuk agensi separa kerajaan dan bukan kerajaan.


MFPC boleh dihubungi melalui laman sesawang www.mfpc.org.my.

Sumber: Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC)