Kepentingan Memupuk Literasi Kewangan Pada Usia Muda

Pendidikan kewangan yang baik, adalah penting dari usia muda, sebelum para pelajar perlu membuat keputusan kewangan yang mustahak




Pelajar Malaysia tidak cukup bersedia dengan pengetahuan yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang praktikal. Ini ialah penemuan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) dalam tinjauan yang mereka lakukan. Tinjauan mereka mendapati 75% pelajar yang disoal hanya mempunyai tahap pengetahuan kewangan rendah hingga sederhana. Ini boleh mempengaruhi keupayaan mereka membuat keputusan kewangan yang memerlukan perancangan jangka panjang. Penemuan ini agak membimbangkan kerana pengetahuan kewangan yang rendah boleh membawa kepada keputusan kewangan yang lemah selepas alam persekolahan.


Menurut laporan FINCO, “Money SENse: Pemahaman Pelajar Malaysia Tentang Hal Kewangan”, pelajar-pelajar ini secara amnya mengetahui tentang perkhidmatan umum seperti akaun simpanan, kad debit dan kad kredit. Namun, hampir 44.5% tidak mempunyai kesedaran yang sama tentang cukai pendapatan, pinjaman pelajaran dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini semua merupakan perkhidmatan kewangan yang berkemungkinan besar berkaitan dengan mereka sebaik sahaja meninggalkan alam persekolahan atau memasuki dunia pekerjaan.

Mereka yang pernah mendengar tentang perkhidmatan ini hanya mempunyai pemahaman ringkas tentang bagaimana perkhidmatan ini berfungsi. Namun, mereka tiada pemahaman tentang bagaimana servis ini menjadi relevan dalam kehidupan mereka selepas alam persekolahan.


Sebagai perbandingan, responden yang mempunyai pengetahuan kewangan yang tinggi dapat mengenal pasti kepentingan perkhidmatan agensi kewangan ini dan banyak lagi.

Malah, penemuan tersebut menunjukkan korelasi positif yang kuat antara pengetahuan kewangan dengan kesedaran, perilaku serta sikap. Ini menunjukkan bahawa usaha untuk meningkatkan pengetahuan kewangan pelajar boleh membawa kepada tabiat menabung dan berbelanja yang lebih sihat. Tinjauan tersebut, yang dijalankan untuk memahami tahap literasi kewangan pelajar sekolah menengah atas, menerima respons daripada 1,121 pelajar berumur 16 hingga 19 tahun di seluruh Malaysia.

Laporan FINCO tersebut mencatatkan trend dalam literasi kewangan yang secara amnya meningkat dengan usia dan gred akademik. Namun, perkara ini tidak semestinya serupa bagi pelajar dengan tahap literasi kewangan yang rendah sejak muda kerana mungkin tidak mendapat akses yang sama seperti rakan sebaya mereka.


Tingkah laku penjimatan dan perbelanjaan

Apabila disoal tentang tingkah laku penjimatan dan perbelanjaan pula, hanya 28.3% pelajar yang disoal menunjukkan perilaku positif dalam kesemua enam bidang tingkah laku yang ditanya, manakala 4.2% tidak menunjukkan tingkah laku penjimatan dan perbelanjaan yang positif.


Laporan FINCO juga menunjukkan bahawa terdapat 49 pelajar yang telah berkongsi butiran akaun bank dengan rakan-rakan karib, dan 42 pelajar yang akan mempertimbangkan untuk berkongsi butiran akaun bank dengan orang asing sebagai pertukaran wang. Walaupun ini hanya sebahagian kecil daripada responden, ia tetap menjadi suatu penemuan yang membimbangkan.

Golongan muda yang tidak sepenuhnya memahami kesan dan risiko yang akan timbul akibat daripada pendedahan data peribadi mereka, boleh menjadi sasaran mudah bagi penipuan dalam talian dan keldai akaun. Menurut Jabatan Insolvensi, 60% rakyat Malaysia yang mengisytiharkan kebankrapan dari tahun 2018 hingga 2022 adalah dalam kalangan individu berusia 25 hingga 44 tahun. Berdasarkan penemuan dalam laporan FINCO, tabiat buruk kewangan yang terbentuk semasa muda berkemungkinan dibawa bersama ke alam dewasa. Ini menghasilkan golongan muda yang tidak dapat membuat keputusan kewangan yang baik akibat tiada pengetahuan tentang kewangan yang boleh mempengaruhi kehidupan mereka.

Pendidikan sebagai penggerak

Penemuan laporan FINCO selaras dengan penemuan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan 2021 bahawa tahap literasi digital yang rendah dan membimbangkan masih berterusan dalam kalangan rakyat Malaysia. Memandangkan pelajar sekolah kini akan menjadi pengguna utama produk dan perkhidmatan kewangan digital, mempelajari dan mengikuti garis panduan amalan ‘cyber hygiene’ yang baik amatlah penting untuk mengurangkan kejadian ‘fraud’ dan penipuan.

Peranan FINCO

Sebagai sebahagian daripada matlamatnya untuk mempromosikan rangkuman kewangan, industri kewangan telah giat menyokong FINCO dengan kepakaran dan maklumat yang relevan untuk memupuk generasi individu celik kewangan yang pasti akan menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang mampan dari segi ekonomi dan sosial.


Maklumat daripada laporan ini akan digunakan untuk menangani jurang dalam pengetahuan dan keperluan pelajar dengan lebih cekap melalui pembangunan kandungan pendidikan kewangan yang praktikal dan tepat pada masanya untuk program Literasi Kewangan sekolah menengah FINCO, Ringgit Rules, yang selaras dengan Kurikulum dan Strategi Kebangsaan Kementerian Pendidikan untuk Literasi Kewangan. Dengan maklumat daripada kajian serta perilaku, FINCO bekerjasama dengan kaunselor sekolah untuk menyampaikan bengkel Ringgit Rules yang menggalakkan pelajar untuk meneroka nilai dan pandangan yang mereka pegang terhadap pengurusan kewangan peribadi dan untuk membangunkan tabiat kewangan yang baik dari usia muda.

Selaras dengan matlamatnya untuk memastikan pelajar didedahkan kepada pendidikan celik kewangan seawal mungkin, FINCO juga sedang menyediakan kit celik kewangan Ringgit Rules Junior bagi pelajar sekolah rendah yang akan dimuat naik ke laman web FINCO pada awal bulan April. Kit ini mengandungi beberapa sumber yang boleh diambil oleh guru, institusi kewangan dan pelajar lain untuk mengajar konsep celik kewangan. 

Sumber: Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC)