Kepentingan Menyemak Laporan Kredit Kewangan Anda

Pengurusan hutang yang bijak, membuat simpanan dana kecemasan, penglibatan diri dalam pendidikan kewangan dan semakan laporan kredit secara berkala berupaya untuk mengelakkan diri anda daripada tekanan kewangan dan menjamin masa depan kewangan yang lebih kukuh



Sejak beberapa tahun lalu iaitu sejak pasca COVID-19, kegawatan ekonomi pada peringkat global telah memberi kesan langsung terhadap kehidupan seharian pengguna. Kini situasi tersebut menjadi lebih parah apabila semakin ramai pengguna mendapatkan perkhidmatan kewangan.

Malah, masalah pengendalian hutang oleh pengguna juga semakin meningkat. Perkara ini berlaku kerana percambahan produk kewangan dan pasaran produk yang agresif telah membawa kepada suatu senario yang memperlihatkan keluarga terjebak dalam perangkap yang sukar untuk meloloskan diri.

Landskap kewangan adalah sangat mencabar. Namun, jika anda menggunakan strategi dan kesedaran kewangan yang betul, anda berpeluang untuk berkembang maju dalam kehidupan.

Tekanan kewangan boleh berlaku dalam pelbagai cara. Ia memberi kesan bukan sahaja kepada akaun bank anda tetapi juga kepada kesihatan mental dan fizikal.

Mengenali tanda-tanda awal adalah penting untuk mengambil langkah yang proaktif dalam menangani punca tekanan kewangan tersebut.

Belanjawan: Langkah pertama untuk berhemat dalam perbelanjaan

Menyusun dan mengikut kepada perancangan perbelanjaan merupakan perkara yang paling asas. Perancangan perbelanjaan bukan sekadar untuk menjejak perbelanjaan; ia juga merupakankaedah yang digunakan bagi membuat keputusan kewangan yang termaklum. Ia juga membantu anda dalam mengenal pasti perbelanjaan yang tidak perlu, mengutamakan kos perbelanjaan terpenting dan memperuntukkan sumber untuk simpanan dan bayaran balik hutang.


Dana kecemasan: Jaringan keselamatan kewangan anda

Dana kecemasan adalah sangat penting bagi keselamatan kewangan seseorang. Ia merupakan suatu persediaan terhadap perbelanjaan yang tidak dijangka dan mengurangkan keperluan untuk menanggung hutang semasa situasi kecemasan kewangan. Ia juga bertujuan untuk menjimatkan perbelanjaan hidup sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan.

Melabur dalam pendidikan kewangan

Ilmu ialah kuasa penentu, terutamanya bagi perkara berkaitan dengan kewangan. Mendidik diri tentang produk kewangan, pilihan pelaburan dan arah aliran ekonomi boleh memperkasakan anda untuk membuat keputusan yang lebih tepat. Oleh itu, anda perlu mempertimbangkan untuk menghadiri bengkel kewangan atau menggunakan sebarang sumber dalam talian untuk meningkatkan tahap celik kewangan anda.

Kepentingan semakan laporan kredit secara berkala

Laporan kredit anda ialah aspek penting dalam kesihatan kewangan anda. Ia mempengaruhi keupayaan anda untuk mendapatkan pinjaman, kadar faedah yang anda terima dan juga prospek pekerjaan anda.

Berikut merupakan kepentingan pemeriksaan biasa bagi seseorang pengguna:

  • Kesedaran: Semakan laporan kredit secara berkala dapat memastikan bahawa anda mendapat maklumat terkini tentang kedudukan kewangan anda. Ia membolehkan anda membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.
  • Pengesanan ralat: Memantau laporan kredit membolehkan anda mengesan dan membetulkan sebarang aktiviti yang tidak tepat atau mencurigakan yang boleh menjejaskan kepercayaan kredit anda.
  • Pencegahan penipuan: Pemeriksaan biasa boleh membantu anda mengesan dengan lebih awal jika terdapat sebarang aktiviti tanpa kebenaran atau kecurian identiti. Ini dapat melindungi anda daripada perangkap scammer.
  • Penambahbaikan kredit: Memahami laporan kredit anda memberi anda peluang untuk mengenal pasti pilihan kewangan yang boleh dibuat dengan lebih baik.

Cara menyemak laporan kredit anda di Malaysia

Di Malaysia, anda boleh menyemak laporan kredit anda melalui Agensi Pelaporan Kredit (CRA) seperti BiroKredit Malaysia (CBM), Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS), atau Agensi Pelaporan Kredit Malaysia (CTOS). Agensi ini menyediakanlaporan kredit yang memberi anda gambaran menyeluruh tentang sejarah kredit anda termasuk sejarah pembayaran individu, jumlah hutang dan tempoh sejarah kredit.

Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 (Akta CRA) memberi agensi-agensi ini kuasa untuk mengumpul, merekod, menyimpan dan menyebarkan maklumat yang diterima secara rasmi daripada bank. Ini termasuk sumber awam yang sah seperti surat khabar (prosiding undang-undang, notis kebankrapan dan rekod litigasi) dan agensi kerajaan yang dibenarkan.

Sebagai pengguna, anda boleh menyemak laporan anda sendiri untuk memastikan kewangan anda kukuh, manakala syarikat (seperti bank) boleh merujuk laporan anda untuk melihat sama ada anda sepadan untuk kemudahan pinjaman atau kad kredit.


Semua agensi pelaporan kredit bertanggungjawab dalam memastikan ketepatan data. Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat, agensi diberi mandat untuk membetulkannya dalam masa 21 hari selepas menerima permintaan pembetulan daripada pengguna.


Perancangan kewangan yang berhemat tidak menghalang anda daripada berbelanja tetapi sebaliknya mengupayakan anda untuk membuat keputusan dengan lebih bijak dan membantu menstabilkan tahap kewangan anda.

Dengan perancangan perbelanjaan yang lebih berkesan, pengurusan hutang yang bijak, simpanan dana kecemasan yang mencukupi, penglibatan diri dalam pendidikan kewangan dan semakan laporan kredit secara berkala, anda berupaya untuk mengelak daripada tekanan kewangan dan menjamin masa depan kewangan yang lebih kukuh. Anda perlu ingat bahawa laluan ke arah kesejahteraan kewangan merupakan satu perjalanan. Setiap langkah walaupun kecil adalah penting untuk mencapai matlamat kewangan anda.

Sila layari laman sesawang Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), www.nccc.org.my dan klik E-ADUAN untuk membuat sebarang aduan. Pengguna juga boleh menghubungi NCCC di talian 03-7877 1076.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)